Perak Hari Ini

Hasrat Jadikan Perak Sebagai Negeri Pertama Perkenalkan Perkhidmatan Bas Elektrik

IPOH – Kerajaan Perak berhasrat menjadikan negeri ini sebagai negeri yang pertama memperkenalkan perkhidmatan bas elektrik, di bawah peruntukan RM450 juta seperti mana yang diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Negeri, Paul Yong Choo Kiong berkata, perkara tersebut telah pun diusulkan kepada Kementerian Pengangkutan sebagai salah satu langkah bagi menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam di Perak.

“Kita menyambut baik hasrat kerajaan dalam menyediakan sehingga 500 bas elektrik pelbagai saiz dengan kos RM450 juta untuk pengangkutan awam di bandar terpilih seluruh negara.

“Kerajaan negeri sudah pun menyampaikan hasrat secara rasmi kepada kementerian untuk menjadi negeri pertama memperkenalkan bas ini,” katanya.

Selain itu, ujar Paul Yong cadangan pelaksanaan bas elektrik di negeri ini itu merupakan sebagai usaha ke arah mewujudkan bandar bebas karbon di Perak.

“Pada peringkat awal pelaksanaan sistem bas ini kelak, ia mungkin akan menghadapi masalah namun, saya percaya ia cara paling baik yang difikirkan kementerian untuk jangka masa panjang.

“Jika dirasakan tidak sesuai, ia mungkin akan digantikan dengan sistem pengangkutan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Paul Yong berkata, Perkhidmatan MyBas Ipoh yang bermula pada 1 Jun 2016 lalu telah menawarkan liputan jaringan menyeluruh dengan melibatkan 16 laluan merangkumi jarak keseluruhan 367 kilometer.

Katanya, kesemua laluan itu dihubungkan kepada dua terminal utama iaitu Terminal Medan Kidd dan Terminal Meru Raya.

“Rangkaian MyBas Ipoh turut melibatkan 11 laluan utama dan lima laluan pengantara yang mana beberapa laluan telah digabungkan dan dipanjangkan bagi memberikan perkhidmatan yang lebih cekap berasaskan jumlah penumpang di setiap kawasan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");