Berita Hari Ini

Isu Abu Mayat Chin Peng Sengaja Dibangkit Untuk Burukkan Kerajaan – PM

SEOUL (Korea Selatan): Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan niat mereka yang membangkitkan isu pembuangan abu mayat Ketua Parti Komunis Malaya (KPM), Chin Peng.

Beliau juga bertanya kenapa isu pembuangan abu itu yang belum diketahui kesahihannya lebih penting daripada pembangunan dan keamanan negara yang diusahakan kerajaan.

“Kenapa dibangkitkan isu ini. Nak suruh kita kutip balik abu itu dan hantarnya kembali ke luar negara,” soal Perdana Menteri pada sidang akhbar pada akhir lawatannya selama lima hari ke Korea Selatan, hari ini, lapor BH Online.

Beliau berkata, pihak tertentu sengaja membangkitkan isu berkenaan semata-mata hendak memburukkan kerajaan.

“Dia (Chin Peng) sudah mati. Ramai orang dulu dera kita juga macam orang Jepun.“Semuanya kita lupakan, dia tak boleh buat apa dah.

“Kita bagi Shamsiah Fakeh (seorang pemimpin wanita KPM) balik, takda siapa bantah pun. Apakah sebab dia orang Melayu? Begitu juga dengan Rashid Maidin (pemimpin kanan KPM) serta yang lain-lain, kita boleh terima.

“Tetapi Chin Peng kita tidak boleh terima sebab dia ketua,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata kemungkinan juga pembuangan abu itu berlaku pada zaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sekarang semua nak salahkan kerajaan Pakatan Harapan.“Mana kita nak tahu, dia bawa abu ini dalam (bekas) flask. Kita tak tahu dia bawa apa? Siapa nak tengok dalam flask dan kalau tengok pun nampak abu sahaja,” katanya.

Berhubung isu rombakan Kabinet, Perdana Menteri berkata buat masa ini beliau berpuas hati dengan anggotanya.

Beliau berkata bertukar menteri tidak semesti akan menjadi lebih baik.

“Ia mungkin jadi lebih buruk. Jadi saya perlu memikirkannya dengan berhati-hati,” jelas beliau.

Berhubung dengan laporan bahawa beberapa menteri meminta Ketua Setiausaha (KSU) kementerian masing-masing ditukar, Perdana Menteri berkata, perkara itu membabitkan isu penyesuaian antara menteri dan KSU mereka.

“Saya suruh mereka janganlah bermasalah dengan KSU tapi sesetengah itu ada sebabnya. Kita cuba kurangkanlah.

“Kalau nak dibuangkan sampai lapan orang susahlah. Jadi kita kena belajar bagaimana hendak bekerja sama. Inilah nasihat saya dalam Kabinet,” jelas beliau.

“Kalau kita cuba dan berbuat baik, mereka akan bekerjasama dengan kita. Kalau kita tunjuk muka masam, susah sikit,” tambah beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");