Berita Hari Ini

Kementerian Kesihatan Buat Pensampelan Produk Hasilan Khinzir

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan menjalankan pensampelan untuk pengesahan keberkesanan proses ‘retort’ dalam pemprosesan makanan produk hasilan khinzir bagi memastikan tiada pencemaran virus Demam Babi Afrika (ASF).

Menurut BH Online, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan mengambil maklum isu produk daging lunceon babi dalam tin diimport dari China yang didakwa dikesan dengan asid deoksiribonukleik (DNA) virus African ASF di Sarawak.

“Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak dalam menangani perkara ini.

“Kementerian Kesihatan akan menjalankan pensampelan bagi tujuan pengesahan keberkesanan proses retort, iaitu langkah dalam pemprosesan produk hasilan khinzir untuk memastikan tiada pencemaran virus ASF.

“Wabak ASF adalah penyakit haiwan dan tidak menjangkiti manusia. Ia bukan dikategorikan sebagai penyakit zoonotik yang boleh menjangkiti manusia sama ada melalui haiwan hidup atau produk hasilan khinzir,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Seperti dimaklumkan JPV, pengguna dinasihatkan mengelak daripada membeli produk itu termasuk secara dalam talian, selain tidak memberikan produk atau sisa produk berkenaan sebagai makanan kepada khinzir.

“Ini bagi mengurangkan risiko ASF menjangkiti khinzir yang memakan sisa makanan haiwan tercemar dengan virus ASF,” katanya.

Beliau berkata Seksyen 13A Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terbabit mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan binatang atau sayuran yang berpenyakit, kotor, reput atau bangar adalah melakukan kesalahan .

“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lapan tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Sekiranya pengguna mempunyai kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Sarawak melarang pengimportan babi dan semua produk haiwan itu dari negara yang dijangkiti virus ASF.

Larangan import itu termasuk produk babi dalam tin dari China selepas pihak JPV Sarawak mengesan virus ASF melalui DNA dalam satu daripada 17 sampel daging lunceon babi dalam tin diimport dari China.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");