Berita Hari Ini

Kementerian Pendidikan Belum Terima Laporan UEC

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan masih menunggu Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) menyerahkan laporan berhubung peperiksaan itu, yang sepatutnya diserahkan akhir bulan lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pasukan itu sudah selesai mengadakan pertemuan dengan semua pemegang taruh, dan kini sedang memuktamadkan laporan mengenai UEC itu.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

“Saya sentiasa berkomunikasi dengan PPDUEC dan mereka melakukan yang terbaik untuk memuktamadkan laporan itu.

“Kajian mengenai UEC memerlukan pihak jawatankuasa bertemu dengan ramai pemegang taruh dan mereka pula memiliki tenaga kerja yang terhad, namun mereka tetap berikan yang terbaik.

“Buat masa ini, saya masih menunggu mereka (memuktamadkan laporan),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Awal bulan lalu, Pengerusi PPDUEC, Eddin Khoo dilaporkan, memohon lanjutan menunda tarikh untuk menyerahkan laporan akhir kajian itu yang sepatutnya diserahkan pada 30 September lalu.

Eddin dilaporkan berharap dapat menyerahkan laporan mengenai UEC itu pada hujung Oktober.

Ketika itu, Maszlee dilaporkan berharap tiada lagi penangguhan masa oleh PPDUEC dalam melengkapkan laporan akhir kajian pengiktirafan sijil itu, selepas tempoh lebih enam bulan diberikan kepada mereka.

Penubuhan PPDUEC susulan mesyuarat Kabinet pada 29 Ogos tahun lalu dan anggotanya dilantik pada 29 Oktober tahun sama, bagi mengkaji dan mencadangkan hala tuju serta dasar berhubung UEC untuk dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan lanjut memetik BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");