Berita Hari Ini

Kerajaan Masih Kaji OSA, Wujudkan Akta Kebebasan Maklumat

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih mengkaji kedudukan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan cadangan menggubal Akta Kebebasan Maklumat sebelum sebarang keputusan dibuat untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin menjelaskan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menambah baik atau menghapuskan OSA atau mengekalkan akta itu dan mewujudkan Akta Kebebasan Maklumat secara bersama.

“Kerajaan komited memastikan cadangan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dilaksanakan secara holistik dan inklusif. Justeru, konsultasi awam akan dilaksanakan sebaik sahaja aspek dasar berkaitan akta ini dimuktamadkan dengan pihak berkepentingan.

“Kita juga komited mempertahankan hak (dalam) Perlembagaan Persekutuan. Kita (kaji) adakan Akta Kebebasan Maklumat, pada masa sama sedang kaji OSA yang dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, lapor BH Online.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin tahu sama ada perkara berkaitan rahsia rasmi termaktub di bawah OSA atau Akta Kebebasan Maklumat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 18 Julai lalu, dilaporkan berkata Akta Kebebasan Maklumat akan digubal untuk menggantikan OSA.

Beliau menjelaskan, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) bersetuju secara prinsip bahawa tempoh masa yang mencukupi harus diberikan kepada proses penggubalan akta terbabit.

Menjawab soalan tambahan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) mengenai jaminan kerajaan membendung maklumat sensitif daripada tersebar jika OSA dihapuskan, Hanipa menegaskan akta terbabit disalah guna kerajaan terdahulu.

“Dulu, OSA digunakan untuk melindungi kezaliman, penyalahgunaan kuasa, bukan melindungi maklumat sulit. Sekarang kita mencari keseimbangan untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");