Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Belanja Hampir RM700,000 Bagi Penyaluran Bantuan Ihsan Bencana

IPOH: Sehingga 31 Oktober lalu Kerajaan Perak telah membelanjakan hampir RM700,000 bagi tujuan pemberian pelbagai bantuan ihsan melalui tabung bencana negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata dalam usaha mengurangkan birokrasi dan memudahkan urusan penyaluran sumbangan kepada mangsa-mangsa bencana, sebanyak RM200,000 telah disalurkan terus kepada pejabat-pejabat daerah.

Katanya dengan inisiatif tersebut, semua pejabat daerah boleh menyalurkan sumbangan kepada mereka tanpa memerlukan kelulusan daripada Pegawai Kewangan Negeri.

“Kerajaan negeri telah melantik pejabat-pejabat daerah sebagai pengerusi bencana daerah bagi memudahkan urusan pengagihan bantuan kepada mangsa bencana seperti kotak makanan, kit peribadi dan pelbagai peralatan lain di pusat bantuan bencana,” katanya.

Selain itu, jelasnya di bawah Seksyen 9, Akta Tatacara Kewangan 1957, Kerajaan Negeri telah menyediakan Akaun Amanah Tabung Bencana Negeri Perak yang boleh digunakan bagi pembayaran wang ihsan kepada mangsa-mangsa bencana alam di negeri ini.

Katanya tabung tersebut boleh dicarum atau disumbangkan daripada sumbangan Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, syarikat swasta, organisasi bukan kerajaan (NGO) mahupun individu perseorangan.

“Kerajaan Persekutuan, melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga turut menyumbangkan sebanyak RM170,000 ke tabung ini mulai tahun 2018, selain beberapa sumbangan yang turut diterima daripada individu.

“Bagi kerja-kerja projek pembaikan pasca bencana dan darurat yang perlu dilaksanakan segera demi menjaga kepentingan awam dan Kerajaan, peruntukan Kecemasan Pegawai Daerah sebanyak RM200,000 di setiap daerah boleh digunakan,” kata Ahmad Faizal dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan sentiasa berusaha memperbaiki dan mempercepatkan urusan penagihan wang ihsan kepada mangsa-mangsa bencana di Perak.

“Bagi tuntutan wang ihsan Tabung Bencana Negeri, laporan polis lengkap berkaitan kemalangan atau bencana, termasuk jumlah kerugian perlu dibuat di balai polis berhampiran.

“Laporan polis ini perlu dikemukakan bersama salinan kad pengenalan mangsa untuk semakan, perakuan dan kelulusan Pejabat Daerah. Bagi permohonan yang tiada masalah tuntutan, bantuan wang ihsan boleh disalurkan dalam tujuh hari selepas semua dokumen lengkap diterima pejabat.

“Selain itu, dalam keadaan bencana yang kritikal, perbelanjaan dan perolehan secara darurat boleh dilaksanakan oleh urus setia bencana daerah atau negeri bagi mengelakkan bencana menjadi lebih mudarat dan merosakkan lebih harta benda,” katanya

Ketika menjawab soalan tambahan Khairul Shahril Mohamed (BN- Bota), Ahmad Faizal berkata beliau akan mempertimbangkan cadangan berhubung melibatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam jawatankuasa-jawatankuasa bencana di negeri ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");