Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Belanja RM53.3 Juta Urus Tapak Pelupusan Sampah

IPOH: Bagi tempoh tahun 2018, Kerajaan Perak telah memperuntukkan RM53.3 juta bagi kos pengurusan dan penyelenggaraan tapak pelupusan sampah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Negeri, Paul Yong Choo Kiong berkata daripada 14 tapak pelupusan di Perak, tapak pelupusan sampah di Matang berkeluasan 10 hektar telah tamat tempoh hayat operasinya.

Ekoran itu katanya kerajaan negeri telah merizabkan tanah seluas 10 hektar bersebelahan dengan tapak pelupusan yang sedia ada di situ.

“Majlis Perbandaran Taiping telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun 2016 untuk menutup selamat tapak sedia ada dan membina tapak pelupusan baru bersebelahan. Namun, buat masa ini belum ada kelulusan peruntukan mengenainya.

“Manakala bagi Majlis Daerah Kerian, mereka telah bercadang untuk membuat pengambilan tanah bagi membuka tapak pelupusan baru seluas 50 ekar di kawasan Mukim Beriah bagi tujuan sama,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata cadangan berkenaan memindahkan pusat pelupusan sampah daripada Matang ke kawasan lain akan diambil perhatian oleh kerajaan negeri.

Selain itu, kata Paul Yong tapak pelupusan sampah di Teluk Mengkudu, Segari berkeluasan 47.46 hektar juga telah tamat tempoh hayat operasinya sementara Pusat Pelupusan Teluk Cempedak di Pulau Pangkor berkeluasan 2.02 hektar telah digunakan sepenuhnya.

“Berkenaan tapak pelupusan di Teluk Cempedak, Pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang melaksanakan kerja-kerja membaik pulih bagi mengoperasikan semula loji insinerator dan pembinaan tapak pelupusan ‘bottom ash’ bagi pembuangan sisa pembakaran oleh loji dan jangka hayat selama 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sesi soal jawab lisan yang diajukan Ng Shy Ching (PH-Teja) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Sementara itu, ujar beliau kerajaan negeri sedang mengusahakan alternatif dengan syarikat swasta bagi membangunkan projek pembinaan tapak pelupusan sampah yang berkonsepkan ‘waste to energy (WTE) sebagaimana yang dibangunkan di Tapak Pelupusan Sampah Teluk Mengkudu, Segari.

Katanya kos pembinaan projek dan kos-kos berkaitan yang lain akan ditanggung pihak syarikat yang terlibat dan perkara tersebut tidak melibatkan sebarang kos daripada kerajaan negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");