Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Sambut Baik Penganjuran IIAF 2019

IPOH: Kerajaan Perak menyambut baik terhadap penganjuran Festival Kesenian Antarabangsa Ipoh atau Ipoh International Art Festival (IIAF) 2019 yang dianjurkan People of Remarkable Talents (PORT) dan Tourism Perak.

Acara yang berlangsung bermula hari ini sehingga 8 Disember itu mengangkat terma ‘Climate’ atau isu-isu berkaitan perubahan iklim dan alam sekitar dunia sebagai tema penganjuran.

Festival yang julung kali diadakan itu menampilkan lebih kurang 100 peserta termasuk peserta-peserta yang terdiri daripada lebih 10 negara seperti Singapura, Indonesia, dan Filipina.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri akan memberikan komitmen bagi penganjuran IIAF pada tahun hadapan.

“Saya akan beri komitmen sepenuhnya kepada penganjuran IIAF 2020 dan kita akan buat secara besar-besaran.

“Saya yakin dengan komitmen Exco, agensi dan jabatan kerajaan, serta pengurusan PORT, ianya akan dapat menjadikan festival ini lebih baik pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian IIAF 2019 di Perkarangan Muzium Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengurus PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin; serta kartunis terkenal, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri , Tan Kar Hing turut senada dengan menyasarkan penyertaan pihak-pihak daripada luar Perak.

“Saya juga yakin kita boleh melakukannya dengan lebih besar yang mana kita dapat menempatkan lebih ramai aris dan peserta dalam serta luar negara.

“Kita berkemungkinan akan melibatkan penyertaan daripada persatuan dan institusi pengajian tinggi yang lain.

“Sebagai contoh, pada penganjuran ini, kita melibatkan institusi-institusi pengajian tinggi di Perak, dan mungkin pada edisi akan datang kita libatkan dari luar negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar berharap agar para karyawan dan pihak-pihak yang terlibat dalam industri seni dapat terus memainkan peranan dalam memberi kesedaran berhubung perubahan iklim yang dialami dunia masa kini.

Beliau mengambil penganjuran Konsert Live Aid pada satu ketika dahulu yang diadakan bagi memberi kesedaran kepada khalayak berkenaan isu kebuluran yang melanda Arika.

“Jika dilihat pada cuaca masa kini baik dalam dan luar negara ianya suka diramal. Keadaan-keadaan ini disebabkan perubahan iklim yang dahsyat melanda dunia.

“Saya berharap para karyawan dapat menyampaikan mesej-mesej berkenaan isu ini dapat melalui tulisan, lagu, puisi, sajak, lukisan dan sebagainya kepada orang ramai,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");