IPOH: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bagi memindahkan kes rogol yang melibatkan Exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Radzi Harun membuat keputusan itu selepas menolak permohonan pembelaan sesudah memutuskan Mahkamah Sesyen juga adalah kompeten (mempunyai keupayaan) untuk mendengar kes berkenaan.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar, pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap keputusan pihak mahkamah menolak permohonan tersebut.
“Menurut mahkamah, isu tersebut tidak begitu kompleks untuk didengari di mahkamah tinggi.
“Menurut hakim mahkamah tinggi, mahkamah rendah juga mampu untuk mengendalikan kes berkenaan dan tiada contoh isu yang mahkamah rendah tidak boleh kendalikan dengan keadilan,” katanya kepada pemberita di luar galeri mahkamah, hari ini.
Sementara itu, mahkamah telah mentapkan 5 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes di mana akan berlangsung di Mahkamah Sesyen Ipoh seperti sebelum ini.
Paul Yong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru didakwa merogol pembantu rumahnya yang berusia 23 tahun, antara 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai lalu, di sebuah bilik di tingkat atas di Desa Meru 2, Meru Desa Park, Meru Raya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan dikenakan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman, manakala tertuduh dibarisi peguam Leong Cheok Keng, RSN Rayer, Ram Karpal Singh Farhan Sapian.
Turut hadir memberi sokongan di mahkamah itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Ngeh Koo Ham, exco kerajaan negeri yang lain termasuk Tan Kat Hing dan Abdul Aziz Bari.