Berita Hari Ini

Ku Nan Tarik Balik Permohonan Batal Penghakiman Kes Saman LHDN

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, hari ini menarik balik permohonannya untuk membatalkan penghakiman terus yang dimohon Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN memohon supaya kes samannya terhadap Tengku Adnan, bagi menuntut bekas Setiausaha Agung UMNO itu membayar wang berjumlah RM57.17 juta terhadap cukai pendapatan yang tidak dibayar sejak 2012 sehingga 2017, diputuskan melalui penghakiman terus, tanpa melalui perbicaraan.

Berdasarkan maklumat mahkamah, peguam Bahari Yeow Tien Hong, yang mewakili Tengku Adnan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya ingin menarik balik permohonan untuk membatalkan penghakiman terus berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azimah Omar, kemudiannya membenarkan permohonan Tengku Adnan dan mengarahkannya membayar kos RM2,000 kepada LHDN.

Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri Peguam Kanan Hasil, Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN.

LHDN sebagai plaintif memohon untuk penghakiman terus di bawah Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Penghakiman terus ialah di mana mahkamah memutuskan sesuatu kes didengar melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 15 November ini untuk mendengar permohonan Tengku Adnan bagi menggantung prosiding kes itu sementara rayuannya terhadap penilaian semula taksiran cukai kepada LHDN selesai.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman itu pada 24 Julai lalu, selepas mendakwa Tengku Adnan selaku defendan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Berdasarkan penyataan tuntutan, LHDN mendakwa, oleh kerana Tengku Adnan gagal membayar jumlah cukai pendapatan itu dalam tempoh 30 har? dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus sudah dikenakan.

Plaintif berkata defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari, menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Ia mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");