Perak Hari Ini

Lagi 32 ADUN Perak Belum Serah Borang Isytihar Harta

IPOH- Hanya 27 dari kesemua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak telah menghantar Akuan Berkanun Borang Pengisytiharan bagi mengisytihar harta masing-masing.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, mereka yang tidak mahu disenaraikan sebagai tidak mengisyiharkan harta perlu bertindak serta merta untuk mengemukakan satu salinan kepada beliau dan satu salinan kepada SPRM supaya nama mereka tersenarai.

“Mana-mana keputusan hendaklah dihormati oleh semua kerana DUN adalah institusi tertinggi di mana suara rakyat adalah suara keramat dan keputusan wakil rakyat adalah keputusan rakyat.

“Apabila sudah tamat tempoh, harta mereka juga akan diteliti supaya dalam tempoh mewakili rakyat, harta yang diterima adalah dari sumber yang halal dan tidak ada unsur rasuah atau salah guna kuasa,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Terdahulu, beliau telah menetapkan supaya kesemua 59 ADUN diberi tempoh masa tiga bulan untuk mengisi dan menghantar borang pengisytiharan harta masing-masing seperti yang ditetapkan melalui usul yang diluluskan oleh dewan pada 23 Julai 2019 yang lalu.

Tambah beliau, mereka yang belum berbuat sedemikian dinasihatkan untuk menyelesaikannya dengan kadar segera.

Namun begitu, beliau tidak mahu mendedahkan identiti Adun yang belum menyerahkan borang akun berkenaan demi menghormati Adun terbabit.

“Kita akan menunggu keputusan dan butir-butir di portal SPRM apabila ianya dinaikkan,” katanya.

Sementara itu katanya, Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Negeri Yang ke-14 Perak Darul Ridzuan akan bermula pada 15 November dan akan bersambung pula pada 18 hingga 22 November iaitu selama enam hari.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");