Berita Hari Ini

Lesen Lori: Tiada Dasar Baharu Diperkenalkan – Loke

SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan tidak pernah memperkenalkan sebarang dasar atau syarat baharu berhubung peraturan berkaitan pelesenan lori, termasuk berkaitan lesen memandu.

Memetik laporan BH Online, beliau berkata, semua dasar dan syarat termasuk tindakan undang-undang yang diguna pakai adalah sama seperti yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 diluluskan terdahulu.

Menterinya, Anthony Loke berkata mogok dalam kalangan pemandu lori di seluruh negara baru-baru ini dipercayai berpunca daripada penyebaran berita mengelirukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Segala syarat dan dasar yang diguna pakai adalah berdasarkan undang-undang sedia ada. Jadi tiada perkara baharu.

“Seperti contoh, pemeriksaan kesihatan untuk memperbaharui lesen (memandu lori), selama ini memang sudah ada.

“Jadi mungkin ada kekeliruan dalam kalangan pemandu. Kita tidak pernah meletakkan syarat-syarat baharu. Perkara ini telah disalah tafsir, dan ada pihak yang cuba menggunakan isu ini bagi mengapi-apikan sentimen demi agenda tertentu,” katanya.

Loke berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kelpin, di sini, hari ini.

Pada Khamis lalu, beratus-ratus pemandu lori mengadakan perhimpunan aman di beberapa lokasi di seluruh negara dalam usaha mendesak Kementerian Pengangkutan melonggarkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka.

Selain pemeriksaan kesihatan oleh doktor bagi tujuan pembaharuan Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) dan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), mereka menggesa pertimbangan dalam isu saman tinggi, muatan berlebihan, pemeriksaan kenderaan, pengurangan waktu sekatan serta pengurangan mata demerit.

Dalam perkembangan sama, Loke berkata, beliau sudah meminta Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Seri Shahruddin Khalid, meneliti memorandum yang diserahkan kepada kerajaan supaya boleh memberi penerangan lebih jelas kepada persatuan pemandu lori.

“(Sebelum ini) kita sudah beri penerangan kepada persatuan (pemandu lori) tapi sudah tentunya tidak semua memahami perkara ini.

“Perkara yang dibangkitkan dalam memorandum itu telah saya arahkan Ketua Pengarah JPJ untuk lihat dan beri penerangan lanjut,” katanya

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");