Berita Hari Ini

Mahkamah Dengar Aduan 2 Tertuduh LTTE 5 Disember

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 5 dan 6 Disember depan bagi memeriksa aduan dua tertuduh yang didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Aduan itu berhubung dakwaan pengusaha kedai runcit B Subramaniam, 57, dan pengutip besi buruk A Kalaimughilan, 28, bahawa mereka tidak menerima layanan baik di penjara sepanjang berada dalam tahanan.

Hakim Azura Alwi yang menetapkan tarikh itu selepas berpuas hati dengan aduan yang dilaporkan pada 1 November lalu.

“Selepas mendengar aduan daripada dua tertuduh, mahkamah berpuas hati ada kesalahan untuk diambil maklum bawah Seksyen 128 Prosedur Tatacara Jenayah.

“Satu pemeriksaan akan diteruskan mengikut Seksyen 133 Prosedur Tatacara Jenayah,” katanya.

PENGUSAHA kedai runcit, B Subramaniam ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya diwakili Low Qin Hui dan peguam bela S Selvam mewakili kedua-dua tertuduh.

Pada 1 November lalu, Azura mendengar kenyataan dua tertuduh itu dalam prosiding tertutup.

Pada prosiding lalu, peguam bela MV Yoges, yang mewakili Kalaimughilan, berkata anak guamnya mendakwa tidak dilayan dengan baik di penjara Sungai Buloh di mana bantal mahupun tilam tidak diberikan kepada tertuduh.

Tambah beliau, anak guamnya yang pernah terbabit dalam kemalangan sehingga mendapat lapan jahitan di kepala, mendapati rasa sakit bertambah teruk apabila tidur di atas lantai.

Kedua-dua tertuduh itu adalah antara 12 individu didakwa di beberapa Mahkamah Sesyen di sini pada 31 Oktober lalu, atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");