Panasnya Hari Ini

Mampukah Wee Bersuara Skandal 1MDB Jika Terpilih, Soal Kit Siang

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini mempersoalkan sekiranya calon MCA Wee Jeck Seng mampu bersuara di parlimen jika beliau memenangi kerusi tersebut.

Menurut Lim, bekas penyandang kerusi parlimen Tanjung Piai selama 10 tahun itu cuma berdiam diri di Dewan Rakyat berhubung skandal 1MDB sebelum ini.

“Calon MCA, Wee Jeck Seng telah menjadi MP Tanjung Piai untuk dua penggal selama 10 tahun dari 2008 sehingga 2018 dan tidak berani bersuara walau sekali pun di parlimen mengenai skandal 1MDB.

“Adakah beliau akan berani membangkitkan skandal 1MDB di parlimen sekiranya beliau dipilih sebagai anggota parlimen untuk Tanjung Piai pada pilihan raya kecil 16 November ini?” Soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim yang juga MP Iskandar Puteri juga berkata perkara itu dapat dilihat daripada cara Wee mengendalikan bekas perdana menteri Najib Razak yang kini berdepan perbicaraan kerana didakwa menyelewengkan paling kurang RM2.28 bilion dana 1MDB..

“Sudah tentu tidak, kalau tidak sudah pasti beliau tidak akan menyambut Najib sebagai ‘boss’nya ketika bekas perdana menteri itu melawat Tanjung Piai semalam.

“Mewakili seluruh rakyat Malaysia, para pengundi di Tanjung Piai, tanpa mengira kaum dan agama, kita mesti menghantar mesej yang jelas bahawa rakyat menyokong kempen kerajaan Pakatan Harapan untuk menghapuskan rasuah dalam skandal 1MDB dan beberapa institusi yang lain seperti Felda, Felcra, Tabung Haji atau Mara.

“Dan sesiapa saja yang telah menipu rakyat Malaysia berjuta dan berbilion ringgit daripada dana awam perlu dihadapkankan ke muka pengadilan atas jenayah mereka,” kata Lim.

Lim berkata walaupun perbicaraan sudah berjalan namun pemimpin BN dan PAS masih mengatakan skandal 1MDB sebagai cerita dongeng.

Jelasnya, PH mesti kekal komited dalam manifestonya ke arah Malaysia baru walaupun mengakui mustahil untuk memperbetulkan salah laku rasuah yang berlaku berdekad lamanya dalam masa beberapa tahun.

Dalam pada itu, Lim mengambil maklum cabaran yang dihadapi PH pada PRK Tanjung Piai dengan menyatakan PH akan kalah sekiranya pengundian berlaku pada minggu ini.

“Di era media sosial di mana penipuan, berita palsu dan hasutan kebencian boleh disebarkan dalam masa beberapa saat sahaja, kedua-dua pengundi Cina atau Melayu pasti akan berasa terkejut sekiranya mereka mempercayai penipuan tersebut dan tidak ada masa atau peluang untuk mengesahkan kebenaran atau sesuatu tuduhan.

“Di kawasan orang Melayu, mereka diberitahu bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ialah boneka saya serta orang Melayu Islam telah kehilangan hak dan kedudukan mereka di Malaysia.

“Tetapi di kawasan Cina, mereka diberitahu yang saya tidak lain hanyalah alat kepada Mahathir serta orang Cina telah kehilangan kedudukan dan hak mereka di Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, PH katanya sentiasa berusaha untuk menyangkal “penipuan dan penyebaran berita palsu”.

“Pada minggu kedua PRK Tanjung Piai, jentera-jentera serta penyokong PH perlu berusaha meraih kembali setiap undi yang boleh didapatkan bagi mencapai kejayaan pada 16 November ini.

“(Ia) supaya dapat menyokong agenda PH untuk Malaysia Baru serta mengubah negara menjadi bangsa yang disegani di dunia dari segi perpaduan, keadilan, kebebasan, kecemerlangan dan integriti,” katanya.

Dua calon yang sengit bersaing pada PRK Tanjung Piai kali ini ialah calon BN daripada MCA, Wee Jeck Seng dan calon PH dari Bersatu, Karmaine Sardini.

Calon lain yang turut bertanding ialah Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan) serta dua calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Tempoh berkempen bagi PRK itu bermula pada Sabtu lalu dan hari pengundian akan berlangsung pada 16 November depan.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandangnya bekas timbalan menteri di JPM, Dr Mohd Farid Mohd Rafik meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung pada September lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");