Berita Hari Ini

Menteri Minta Atlet Sukan SEA Fokus, Jangan Terganggu Masalah Penganjuran

PELABUHAN KLANG: Atlet negara diminta tidak terganggu dengan masalah yang timbul dalam Sukan SEA ke-30 di Filipina dan memberikan fokus sepenuhnya untuk mencapai sasaran pingat ditetapkan, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, pihaknya melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bersedia dengan pelan kecemasan bagi mengatasi sebarang masalah yang mungkin berlaku.

“Saya mahu atlet dengan pegawai untuk fokus kerana semua negara melalui masalah sama, kita mesti fokus dan yakin 70 pingat emas dapat dicapai,” katanya selepas menghadiri majlis ketibaan peserta Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun 2019 di Terminal Boustead Cruise Centre, Pulau Indah hari ini.

Mengulas isu tiada makanan halal dibekalkan kepada atlet negara di temasya berkenaan, Syed Saddiq berkata, pihaknya melakukan penghantaran kedua makanan halal ke Manila hari ini.

Rabu lepas, media melaporkan 500 kotak besar pek makanan Brahim’s diterbangkan khas ke Filipina bagi keperluan atlet dan pegawai negara sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Negara, Megat Zulkarnain Omardin yakin Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) dapat menyelesaikan beberapa perkara berbangkit, terutama berkaitan penambahbaikan di beberapa venue, sebelum bermulanya upacara pembukaan rasmi Sabtu ini.

Katanya, beliau menemui Ketua Pegawai Eksekutif PHISGOC, Ramon Suzara malam tadi bagi membincangkan beberapa masalah yang melanda tuan rumah dalam memastikan temasya berkenaan berjalan lancar.

“Jadi, kita hanya boleh memberikan sokongan supaya apa yang mereka usahakan ini tidak akan mencacatkan perjalanan dan kelancaran Sukan SEA.

“Yang penting adalah atlet kita supaya jangan terganggu emosi, dengan beberapa perkara yang mungkin sedikit tidak mencapai tahap yang mereka kehendaki,” katanya selepas hadir pada majlis menaikkan bendera 10 negara Asean serta Timor Leste yang bertanding dalam Sukan SEA ke-30 di Perkampungan Atlet Clark di New Clark City, Filipina hari ini.

Untuk rekod, 214 atlet dan 98 pegawai sukan Malaysia tinggal di Perkampungan Sukan Clark yang terletak kira-kira 90km dari Manila.

Media tempatan dilaporkan membidas PHISGOC susulan kegagalan mereka dalam menyelesaikan beberapa perkara berbangkit sehingga mengundang kritikan rakyat negara berkenaan, terutamanya di laman sosial lapor FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");