Berita Hari Ini

Negara Islam Boleh Maju, Bersaing – PM

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan menahan sebak bila berbicara mengenai banyak negara Islam yang tidak mencapai kemajuan sehingga tidak dapat mempertahankan rakyatnya.

Perdana Menteri berkata, tiada larangan terhadap orang Islam untuk mencapai kemajuan di dunia.

Katanya, negara Islam juga mempunyai kebolehan dan mampu bersaing dengan negara maju yang lain, namun tidak mempunyai kemahuan untuk melakukannya.

“Kita tidak mampu melindungi umat dan negara Islam. Sebab apa tidak mampu? Sebab kita lemah dari segala sudut.

“Negara-negara kita (Islam) kadang-kadang diberi kekayaan yang luar biasa, itu pun kita lemah kerana kita kurang cekap dengan pentadbiran dan kita pula tiada kelebihan tertentu untuk melengkapkan diri dengan kebolehan mempertahankan umat Islam,” katanya berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Ke-58, di sini, hari ini, lapor BH Online.

Dr Mahathir berkata, ada orang Islam mengikut pemimpin tanpa mematuhi kehendak agama sendiri dengan merosakkan negara.

“Saya tidak banyak masa lagi tetapi saya cuba. Saya beritahu yang kita mampu untuk mentadbir dengan baik negara kita.

“Saya ingin jelaskan di sini bahawa kita mampu bersaing dengan baik. Yang menjadi halangan kepada kita ialah tiada kemahuan dan bukannya tidak ada kebolehan. Kita adalah sama dengan orang asing daripada segi kebolehan akal fikiran dan sebagainya tetap kita tidak menggunakan kurniaan Allah kepada kita dengan cara yang baik, dengan cara yang membolehkan melindungi agama Islam,” katanya.

Dr Mahathir berkata, banyak konflik yang membabitkan orang Islam seperti di Myanmar dan Asia Barat ketika ini, boleh diselesaikan jika kembali kepada ajaran sebenar berpandukan kepada al-Quran.

“Saya harap kita di sini mengambil peringatan. Saya sedar sudah cakap banyak kali berkenaan perkara ini tetapi apa yang saya lihat adalah selepas ucap panjang lebar berkenaan apa kelemahan kita dan bagaimana atasi kelemahan ini, kalau ada soal jawab mereka akan tanya bila nak ada reshuffle (rombakan) Kabinet. Yang saya cakap panjang berkenaan masalah negara Islam.

“Macam tak masuk akal langsung mereka tanya pasal benda remeh temeh, apakah abu Chin Peng boleh bawa masuk atau tidak. Apakah itu boleh tentukan nasib orang Islam? Nasib orang Islam bergantung kepada kita amalkan ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

Sementara itu ketika ditemui pemberita, Dr Mahathir berkata, negara Islam boleh membuat pakatan bagi mencapai kemajuan yang sekali gus dapat membantu umat Islam.

Katanya, pada masa ini negara anggotai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak mencapai persetujuan dalam pelbagai perkara.

“Kita sudah ada OIC tetapi kita tidak boleh bersetuju, sebab itu kita mungkin terpaksa ada pakatan dalam jumlah yang kecil, dua, tiga atau empat negara untuk cuba mencari kemajuan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");