Berita Hari Ini

NUTP Bimbang Kekurangan Guru Subjek Opsyen

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memastikan penyediaan guru-guru mata pelajaran opsyen mencukupi demi kelancaran pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) (Menengah Atas) pada sesi persekolahan tahun depan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, di sebalik cabaran guru kaunseling membantu murid tingkatan empat memilih mata pelajaran elektif terbaik sesuai dengan pelaporan pentaksiran psikometrik Inventori Minat Kerjaya (IMK) masing-masing, penyediaan guru mata pelajaran opsyen mencukupi sangat mendesak.

Menurutnya, perkara itu antara kekhuatiran utama diutarakan NUTP selain keperluan penyediaan kemudahan pengajaran berkualiti di sekolah bagi memenuhi pelaksanaan KSSM.

“Sama ada hendak atau tidak, KSSM sudah bermula sejak tiga tahun lalu dengan KSSM peringkat menengah atas mesti dilaksanakan dan diteruskan pada tahun hadapan.

“Cuma NUTP khuatir masalah kekurangan penyediaan guru mata pelajaran opsyen akan merencatkan objektif pelaksanaan KSSM Menengah Atas.

“Selain itu, keperluan penyediaan kemudahan pengajaran berkualiti bagi memenuhi silibus KSSM Menengah Atas juga perlu dititikberatkan agar pelajar tidak perlu berpindah sekolah semata-mata untuk mengikuti pakej mata pelajaran elektif diingini,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan khidmat guru bimbingan dan kaunseling bagi membantu pelajar tingkatan empat memilih empat pakej mata pelajaran ditawarkan apabila KSSM Menengah Atas dilaksanakan pada sesi persekolahan tahun depan.

Berdasarkan dasar baharu itu, guru kaunseling di semua sekolah menengah berperanan membantu pelajar membuat pilihan pakej mata pelajaran tingkatan empat berdasarkan keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) serta prospek karier masing-masing.

Sementara itu, Amiruddin yakin guru bimbingan dan kaunseling tidak bermasalah, malahan lebih gembira apabila diberikan peranan baharu membantu pelajar tingkatan empat bagi menentukan pilihan pakej mata pelajaran elektif masing-masing.

Menurutnya, inisiatif terbaharu itu akan memastikan mereka berasa lebih puas melaksanakan tanggungjawab masing-masing, lebih-lebih lagi melihat peranan mereka berjaya membantu pelajar Tingkatan 4 memastikan hala tuju masa hadapan dengan prospek pekerjaan lebih baik.

“Cuma saya terfikir, guru kaunseling akan berada dalam dilema sekiranya pakej mata pelajaran elektif diminati pelajar, namun sekolah tidak mempunyai kemudahan pengajaran diperlukan bagi memenuhi minat mereka.

“Adakah mereka kena berpindah ke sekolah berhampiran atau memilih mata pelajaran elektif bersesuaian dengan kemudahan sekolah, ia menjadi satu cabaran besar kepada guru bimbingan dan kaunseling.

“Cuma NUTP berharap tanggungjawab membantu pelajar tingkatan empat memilih mata pelajaran elektif tidak hanya disandarkan kepada guru bimbingan dan kaunseling semata-mata, sebaliknya perlu dibantu guru-guru subjek lain dan ibu bapa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");