Panasnya Hari Ini

‘PAS Boleh Terima, Takkan Akar Umbi Tolak Calon MCA’

KUALA LUMPUR: Tiada alasan untuk akar umbi UMNO menolak calon MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kerana PAS sendiri boleh menerima pencalonan itu.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata persefahaman antara PAS dan MCA itu juga membuktikan Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional bukan parti perkauman.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Sembrong itu berharap muafakat antara pemimpin BN dan Muafakat Nasional itu turut dikongsi ahli akar umbi ketika mengundi pada 16 November ini.

“Yang penting sekarang BN sudah membuktikan bahawa tuduhan kita ini parti perkauman (tidak benar) menerusi calon kita, Wee Jeck Seng.

“Penerimaan jentera kita dan orang Melayu terhadap calon kita ini akan membuka pintu kepada landskap politik yang baharu di Malaysia.

“Walaupun ada penyatuan Muafakat Nasional, PAS boleh terima calon MCA. Saya harap pengundi Tanjung Piai juga boleh terima sahabat saya ini (Jack Seng), dan kita bergerak ke depan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Khamis lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, parti itu bersetuju dengan calon dikemukakan BN dalam PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini.

PRK itu menyaksikan saingan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), BN, GERAKAN, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan dua calon Bebas.

Selain Jeck Seng, calon lain adalah wakil GERAKAN, Wendy Subramaniam; calon PH, Karmaine Sardini; Presiden BERJASA, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghafar.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

PRK Parlimen Tanjung Piai adalah pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14 pada Mei tahun lalu memetik BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");