Perak Hari Ini

PASAK Telah Anjur 18 Sesi AKADEMOS – Howard

IPOH: Pusat Aspirasi Anak Perak ataupun PASAK telah menjalankan 16 sesi bagi tahap satu dan dua sesi bagi tahap dua program Akademi Rakyat (AKADEMOS) bagi tempoh Januari sehingga Oktober tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata jumlah peruntukan kerajaan telah dibelanjakan mengikut sesi yang mana setiap sesi akan melibatkan 30 orang peserta.

“Jumlah maksimum RM15,000 diperuntukkan untuk setiap sesi yang mana ia meliputi kos penginapan, sewaan dewan, kelengkapan bengkel, makan dan minum, pengangkutan, bayaran penceramah serta kos-kos lain.

“Sehingga Oktober 2019, sebanyak 18 sesi telah dijalankan iaitu sebanyak empat program di Institusi Pengajian, satu di hotel melibatkan perwakilan dewan belia dan selebihnya di Akademi Pembangunan Belia (APBM) di Batu Gajah,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Jamilah Zakaria (BN-Trong) dalam sesi soal jawab lisan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Sementara itu, Howard berkata dalam tempoh sama, PASAK telah menganjurkan 10 sesi Program Pengurusan Tekanan (MoST).

Jelasnya, program tersebut telah mendapat sambutan yang baik dalam kalangan belia selain mengusul untuk memperluaskan lagi usaha itu dengan penubuhan kumpulan sokongan yang terdiri daripada pakar kesihatan mental, kaunselor, pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan.

Menyentuh soal masalah golongan belia di negeri ini berhubung tekanan akibat pengambilan dadah sintetik, Howard berkata buat masa ini, PASAK belum melibatkan sebarang program berkenaan hal itu.

Walau bagaimanapun, ujarnya PASAK akan memperluaskan informasi lokasi dalam mendapatkan rawatan, kaunseling serta terapi berkaitan tekanan akibat pengambilan dadah.

“Terdapat beberapa jabatan dan Unit Pakar Psikiatri hospital antaranya di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Teluk Intan, Hospital Taiping dan juga Pusat Kesihatan Mental yang dikenali sebagai MENTARI Simee dalam membantu kumpulan ini menghadapi tekanan akibat pengambilan bahan terlarang,” kata beliau.

Tambahnya lagi, PASAK akan meneliti perkara tersebut dan menjadikan ia sebagai salah satu fokus pada masa hadapan dengan kerjasama beberapa pihak seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");