Perak Hari Ini

Pembangunan Pulau Pangkor Bebas Cukai Tak Libatkan Tanah Besar – MB Perak

IPOH: Pembangunan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas cukai yang akan diisytiharkan mulai Januari tahun hadapan tidak akan melibatkan kawasan tanah besar yang berada di luar daripada pulau tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata perkara tersebut juga telah dibincangkan bersama-sama dengan Kementerian Kewangan.

“Ura-ura ada mengatakan projek bebas cukai ini melibatkan tanah besar. Saya kira anggap ia terus sebagai ura-ura kerana perkara itu tidak akan berlaku.

“Saya sendiri mengetuai perbincangan antara kerajaan negeri dengan Kementerian Kewangan dan tidak ada perbincangan berkenaan kawasan bebas cukai untuk meliputi tanah besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Penggulungan Menteri Besar dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Menyentuh soal berkaitan penjualan minuman keras, Ahmad Faizal sekali lagi mengulangi pendirian kerajaan negeri bahawa minuman tersebut tidak akan dibenarkan dijual di dalam kawasan Pulau Pangkor yang akan dijadikan Pulau Bebas Cukai nanti.

Selain itu, berhubung cadangan penubuhan sebuah perbadanan untuk menguruskan pulau itu beliau berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Pasukan Petugas khas bagi menggerakkan kerja-kerja tersebut.

“Pasukan Petugas Khas yang terdiri daripada 11 orang pegawai dan kakitangan ini akan diperkasakan pada masa akan datang bagi mewujudkan satu perbadanan seperti yang telah ditubuhkan di Pulau-Pulau Bebas Cukai yang lain,” ujarnya.

Pada persidangan DUN Perak kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengusulkan kepada kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah perbadanan untuk Pulau Pangkor sebagaimana yang diwujudkan di Pulau Langkawi.

Pengisytiharan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai membabitkan peruntukan keseluruhan RM486 juta dan menjadi antara projek berimpak tinggi dilaksanakan di Perak dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");