GEORGETOWN: Pakatan Harapan (PH) melakukan pemilihan bagi barisan menteri Kabinet berdasarkan merit dan keupayaan pemimpin terbabit, dan bukannya kerana perkauman, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Menurut BH Online, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata desakan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mahu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, digugurkan daripada Kabinet adalah bersifat sentimen tertentu.
“Negara ini pelbagai kaum. Mereka (menteri) dilantik kerana merit, bukan kaum mereka.
“Kecuali kalau PAS bila mentadbir nanti, jika mereka mahu lantik semua menteri Islam, (itu) saya harap PAS dapat yakinkan semua orang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Simposium Wakaf Pulau Pinang di sini, hari ini.
Menurut Mujahid, desakan Tuan Ibrahim itu juga perlu dilihat secara menyeluruh, terutamanya kesannya terhadap ekonomi semasa.
“Sebagai parti pembangkang, mereka boleh cakap apa yang mereka tahu. Tapi akhirnya, mereka perlu lihat perkara yang lebih penting seperti kesannya kepada ekonomi, awam, itu lebih penting daripada kita kritik suruh letak jawatan kerana sentimen,” katanya.
Khamis lalu, Tuan Ibrahim mencadangkan nama Guan Eng supaya digugurkan daripada Kabinet Persekutuan, berdasarkan prestasinya yang dianggap mengecewakan.
Tuan Ibrahim dilapor menyifatkan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan yang tidak memberangsangkan, berdasarkan agihan kewangan dalam Belanjawan 2020 yang tidak seimbang.
Kenyataan itu bagaimanapun dinafikan Guan Eng, selain Ahli Parlimen Bagan itu menyifatkan dakwaan Tuan Ibrahim adalah permainan sentimen PAS, selaras dengan pendirian dasar parti berkenaan bahawa warganegara bukan Islam tidak layak menjawat jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan.