Sukan Hari Ini

Penalti Giroud Legakan Perancis

PARIS: Olivier Giroud menyempurnakan penalti lewat ketika Perancis bergelut untuk meraih kemenangan 2-1 terhadap Moldova yang menghuni ranking 175 dunia, beberapa jam selepas mengesahkan tiket ke pusingan akhir Euro 2020, awal pagi tadi.

Perancis yang juga juara dunia dan tewas di final Euro 2016 kepada Portugal di laman sendiri mengesahkan tempat di pusingan akhir sebelum sepak mula permainan di Paris susulan keputusan seri 0-0 di antara Turki dan Iceland.

Begitupun, keceriaan mereka pada perlawanan kelayakan terakhir di gelanggang sendiri di Stade de France hampir terencat apabila Vadim Rata menghukum kegoyahan jentera serangan untuk meletakkan Moldova mendahului pada minit kesembilan.

Raphael Varane menyamakan kedudukan buat tuan rumah, 10 minit sebelum babak pertama berakhir dengan jaringan itu turut dibantah pemain dan jurulatih Moldova yang mendakwa penjaga gol mereka Alexei Koselev dikasari oleh Giroud.

Penyerang Perancis, Olivier Giroud (kanan) melakukan sepakan penalti yang menewaskan penjaga gol Moldova, Alexei Koselev pada kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi. - Foto AFP

Penyerang Chelsea itu kemudian mengesahkan gol kemenangan 11 minit sebelum permainan berakhir selepas Lucas Digne dijatuhkan dalam kawasan penalti itu meninggalkan Perancis kini memiliki kelebihan dua mata di depan Turki dalam Kumpulan H.

“Saya boleh dan sepatutnya menjaringkan gol sebelum penalti itu. Kami langsung tidak memperoleh permulaan yang kami patut lakukan,” kata Giroud.

Giroud tetap diletakkan dalam kesebelasan utama oleh jurulatih Perancis, Didier Deschamps sekali pun bekas penyerang Arsenal itu hanya bermain selama 20 minit di peringkat kelab sejak rehat antarabangsa terakhir.

“Sama ada dia diperlukan atau tidak, dia tetap amat berguna dan cekap,” kata Deschamps. “Disebalik apa yang dia tidak miliki di Chelsea, dia masih memilikinya bersama kami.”

Perancis akan melengkapkan kempen kelayakan pada aksi di gelanggang lawan di Albania, awal pagi Isnin ini yang akan menjadi aksi ke-100 Deschamps selaku pengendali manakala Turki akan membuat kunjungan ke Andorra. – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");