Perak Hari Ini

Pengurangan Kategori Sukan Angkat Berat: Sekretariat SUKMA Johor Digesa Pertimbangkan Semula Keputusan

IPOH: Hampir kesemua kontinjen negeri-negeri yang bertanding dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Johor tahun depan berharap agar kesemua kategori bagi  acara angkat berat dapat dipertandingkan semula.

Presiden Sukan Angkat Berat Perlis, Mohd Faiz Musa berkata pihaknya membantah keputusan Jawatankuasa Khas Teknikal dan Sekretariat SUKMA Johor pada Ahad minggu lalu yang memutuskan agar hanya empat kategori daripada 10 sukan tersebut bagi lelaki dan perempuan dipertandingkan.

Ujarnya keputusan itu jelas bertentangan dengan Peraturan Am SUKMA yang mana katanya pada amalannya kesemua kategori sukan tersebut akan dipertandingkan sebagaimana penganjuran temasya beberapa edisi sebelum ini.

Jelasnya lagi, Badan Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF) juga telah menetapkan agar 10 kategori sukan angkat berat baru dipertandingkan di seluruh negara.

Selain itu, Mohd Faiz turut menyifatkan keputusan jawatankuasa tersebut pada saat-saat akhir itu sebagai suatu yang tidak adil kepada para atlet yang sudah giat berlatih.

“Kita membantah keputusan ini dan menggesa agar pihak tuan rumah mempertimbangkan untuk mengembalikan kesemua kategori sukan angkat berat ini.

“Para atlet ini sudah berlatih hampir empat ke enam tahun dan persiapan mereka dari segi masa dan kos sangat banyak.

“Jika ia diteruskan, atlet yang tidak boleh bertanding tidak akan mendapat platform untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Turut senada ialah, Pengurus Pasukan Angkat Berat Perak, Muhammad amir Muhamad Nadzir yang menyifatkan sukan angkat berat mempunyai potensi besar bagi meraih emas buat negara di Temasya Olimpik yang akan datang.

“Sedangkan di Olimpik, dipertandingkan tujuh kategori. Mengapa di peringkat pembangunan iaitu SUKMA hanya mempertandingkan empat kategori. Sedangkan objektif SUKMA sendiri untuk pembangunan sukan.

“Jika jumlah kategori dikecilkan, bagaimana kita mahu mencungkil lebih ramai bakat atlet-atlet seluruh negeri,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Difahamkan tuntutan yang sama juga disuarakan kontinjen daripada Perlis, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Kedah, Kelantan, Terengganu serta Wilayah Persekutuan.

Ditanya pemberita apakah alasan yang diberikan berkenaan pengguguran kepada empat kategori itu, Mohd Faiz berkata beliau dimaklumkan ia sebagai ‘memberi penghormatan’ kepada tuan rumah yang mana jelasnya ia bertentangan dengan Peraturan Am SUKMA

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata perkara tersebut akan dibawa ke peringkat Majlis Teknikal Tertinggi serta mengadakan perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");