Berita Hari Ini

Penyiasat Kena Tindakan Jika Sengaja Gantung Kes, Kata KPN

PEGAWAI di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang sengaja tidak melengkapkan kertas siasatan akan dikenakan tindakan, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Hamid berkata, siasatan akan dibuat untuk mengenalpasti sekiranya terdapat agenda tertentu atau akibat cuai dan malas.

Langkah itu juga bagi mengesan pegawai yang sengaja tidak meneruskan kes bagi melindungi pihak tertentu, katanya dalam satu sidang media hari ini di Maktab PDRM di Cheras.

“Kadang-kadang kes komersial ini melibatkan orang kenamaan, ahli perniagaan. Jika ada unsur-unsur ini (integriti) kita akan siasat dan ambil tindakan sekiranya terbukti mereka sengaja (gantung) kes dan tidak membuat siasatan.

“Saya telah mengarahkan pengarah JSJK untuk meneliti sekiranya terdapat kecuaian, malas dan agenda lain seperti berniat melindungi seseorang,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat juga kes terbengkalai kerana pegawai dan penolong pegawai penyiasat bertukar jabatan atau sebab lain.

Sebanyak lebih 55,000 kertas siasatan JSJK didapati terbengkalai sejak 2005. Tindakan Pengarah JSJK Mohd Zakaria Ahmad berjaya menyelesaikan 53% kes tersebut, katanya.

Hamid berkata, tindakan ke atas pegawai penyiasat yang cuai itu akan diambil jabatan itu sendiri atau dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard.

“Ada pegawai penyiasat yang tidak meneruskan kertas siasatan secara sengaja dengan tanggapan fail itu akan menjadi lapuk dan terus dibuang.

“Tetapi mereka silap kerana kertas siasatan tidak boleh dibuang begitu sahaja dan akan terbongkar satu hari,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya terdahulu, Hamid memberi peringatan kepada semua warga kerja JSJK untuk mempertingkatkan tahap integriti masing-masing.

“Saya sebagai ketua polis negara mempunyai kewajipan untuk mengingatkan anda semua dan juga mahukan ramai anak buah yang masuk ke syurga.

“Buang tradisi amalan menyeleweng yang lapuk. Anda semua mempunyai kelulusan akademik yang tinggi dan apa yang perlu adalah sedikit integriti.

“Anda tidak perlu buat (Pengajian Jarak Jauh) untuk belajar apa itu integriti, tiada modal perlu dikeluarkan untuk itu. Itu yang saya tuntut daripada semua,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");