Berita Hari Ini
Like

Peraturan Kawal Selia Vape Ambil Kira Kandungan Cecair, Penjualan Di Pasaran – Dr Lee

November 30, 2019
276 Views
0 Comments
3 minutes read
Peraturan Kawal Selia Vape Ambil Kira Kandungan Cecair, Penjualan Di Pasaran – Dr Lee

PUTRAJAYA : Kandungan cecair vape dan penjualannya di pasaran adalah antara aspek yang diambil kira dalam proses merangka undang-undang berkaitan kawal selia rokok elektronik (vape).

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, hal ini bagi memastikan kandungan cecair vape tidak dicampurkan dengan bahan kimia lain dan penjualannya hanya terhad kepada golongan dewasa sahaja.

“Kami mahu memastikan golongan remaja khususnya bawah 18 tahun tidak terdedah kepada gejala vaping yang akhirnya mengundang kepada ketagihan dan kerosakan akhlak.

“Penjualan rokok elektronik juga wajib dilabelkan jika mengandungi cecair vape bagi memastikan ia tidak dicampurkan dengan bahan yang mengandungi dadah berbahaya untuk keselamatan pengguna,” katanya kepada Bernama dalam satu wawancara khas.

Dalam undang-undang sedia ada ketika ini, dua peruntukan mengawal penggunaan nikotin iaitu di bawah Akta Racun di mana preskripsi nikotin hendaklah dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar dengan kementerian dan orang biasa sama sekali tidak dibenarkan menjual nikotin.

Justeru, Dr Lee berkata pihaknya turut bekerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi terlibat antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia dalam menggubal penguatkuasaan peraturan itu.

“Seperti mana rokok tembakau, kami juga mahu menguatkuasakan penggunaan vape di kawasan terbuka dan tertutup seperti di restoran dan taman-taman awam, selain mengambil kira harga jualan dan pelaksanaan cukai.

“Namun demikian, kami masih dalam peringkat permulaan iaitu drafnya telah dihantar kepada AGC (Pejabat Peguam Negara) buat masa ini, dan jika tiada halangan dijangka siap dan dibentangkan di Parlimen sekurang-kurangnya tahun hadapan,” katanya.

Dr Lee berkata setakat ini tiada bukti yang menunjukkan bahawa remaja lelaki yang dimasukkan ke Hospital Nuklues Labuan akibat menghisap vape pada 8 Nov lepas menghidapi penyakit Evali.

Penyakit maut yang berlaku di Amerika Syarikat itu berpunca daripada penyalahgunaan produk Vitamin E asetat dan tetrahydrocannabinol (THC) iaitu bahan dadah yang dicampurkan dalam cecair vape.

“Kami masih lagi menyiasat punca kes pesakit di Labuan itu dan tiada tanda yang menunjukkan bahawa dia menghidap penyakit Evali.

“Namun buat masa sekarang di Malaysia, kandungan cecair vape tidak dikesan mempunyai bahan dadah berbahaya itu selain nikotin, bagaimanapun penyiasatan dan kajian masih dijalankan secara menyeluruh agar penyakit itu tidak berlaku dalam kalangan perokok vape di Malaysia,” katanya.

Penyakit misteri paru-paru itu diberi kod nama Evali iaitu gabungan e-rokok, vape atau produk berkaitan kecederaan paru-paru yang mana telah menyebabkan 39 kematian melibatkan pengguna vape di Amerika Syarikat setakat ini.

Pada 8 Nov lepas, seorang remaja lelaki telah dimasukkan ke Hospital Nukleus Labuan dan menerima rawatan untuk kerosakan bahagian dalaman paru-paru, disyaki akibat menghisap vape, menjadikan kes pertama yang dilaporkan di Labuan.

-Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.