Perak Hari Ini

Perbalahan Akibat Perselisihan Kaum Dan Agama, Ancaman Kritikal Sesebuah Negara – Sultan Perak

KUALA KANGSAR: Setiap negara mempunyai pelbagai cabaran daripada pelbagai bentuk namun, ancaman yang disifatkan sebagai kritikal ialah perbalahan sesama rakyat yang berpunca daripada perselisihan kaum dan agama.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah negara yang telah dibina dengan falsafah kenegaraan yang baik ini sedang menghadapi satu perkembangan yang boleh mengancam perpaduan rakyat.

“Slogan-slogan atas nama kaum yang bersifat provokatif, dan retorik atas nama agama yang bernada ekstrem kini kelihatan semakin digemakan.

“Slogan dan retorik sedemikian, laksana bara yang mula menyalakan puntung dan unggun. Jika ia tidak segera dibendung, ianya akan menyemarakkan lagi api permusuhan yang boleh memusnahkan negara,” titah Baginda.

Justeru, Baginda mengingatkan bahawa negara pada ketika ini memerlukan satu paradigma progresif yang membolehkan rakyat berasa selesa dan berfikiran terbuka serta tidak memiliki sikap prasangka dan curiga antara satu sama lain.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-63 Sultan Perak, di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, pencapaian agenda dalam membentuk rakyat yang bersatu padu dilihat semakin samar dan sekiranya ia tidak ditangani segera, berkemungkinan ia akan terus menjadi kelam.

Titah Baginda, perkara tersebut tidak boleh ditangguhkan usahanya kerana kelangsungan kedaulatan negara ini amat bergantung kepada sifat warganegaranya yang bersatu padu.

“Negara ketika ini, tidak memerlukan panglima untuk berperang, tetapi negara teramat
memerlukan diplomat untuk menjalinkan persaudaraan.

“Pemimpin itu haruslah seorang yang berpandangan luas, matang, sabar, tenang dan rasional pendekatannya. Ia kerana melalui kebijaksanaan dan hikmahnya, suhu panas dapat diturunkan, dan negara dapat dihindarkan daripada dilanda bencana, disebabkan perselisihan kaum dan agama,” titah Sultan Perak.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah, pada tahun 1960, Menteri Dalam Negeri, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, menegaskan bahawa cabaran yang dihadapi negara ketika itu ialah komunisme,
dan komunalisme.

Titah Baginda, menurut Tun Dr. Ismail, komunisme boleh diperangi secara bersenjata, dan diletakkan dalam isolasi, serta boleh ditewaskan, sebaliknya komunalisme, yang boleh memecahbelahkan rakyat, tidak boleh diperangi dengan cara sama, kerana ianya itu tumbuh dalam setiap taman kehidupan rakyat.

Titah Sultan Perak, perkara itu menjadi realiti apabila tercetusnya peristiwa hitam negara pada 13 Mei 1969.

Justeru Baginda mengingatkan bahawa amaran Tun Dr Ismail itu harus diperingatkan kembali pada masa kini kepada semua rakyat yang mana akhir-akhir ini ada antara mereka dilihat semakin cenderung melukis sempadan pemisahan daripada mencari titik pertemuan sesama rakyat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");