Perak Hari Ini

Perkhidmatan Bas HoHo Tambah Enam Hentian Baru, Termasuk Luar Ipoh

IPOH: Perkhidmatan Bas Hop-On Hop-Off (HOHO) di negeri ini yang telah bermula sejak Mac akan diperluaskan perjalanannya kepada enam hentian baru, termasuk beberapa lokasi yang terletak di luar Bandaraya Ipoh.

Hentian tersebut ialah Taman Tema Lost World Of Tambun, Ladang Limau Tambun Pomelo Orchard Farm, Sam Poh Tong, Hentian Bas Pekan Gopeng, Kellies Castle serta Silveritage Medan Gopeng.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing berkata perkhidmatan fasa kedua Bas HOHO itu akan bermula pada 23 November ini sehingga penghujung tahun ini.

Katanya dengan pertambahan hentian baru itu ia menjadikan perkhidmatan bas tersebut bakal mempunyai 18 hentian kesemuanya.

Menurutnya, pemilihan enam lokasi hentian baharu itu adalah disebabkan faktor daya tarikan pelbagai yang terdapat lokasi masing-masing

Ujarnya sebagai contoh, Gopeng terkenal dengan aktiviti lasak dan sukan air manakala Kellies Castle pula sangat terkenal dengan nilai sejarahnya yang tersendiri.

“Kita lihat perkara ini boleh melibatkan pemain dan industri pelancongan dalam melakarkan pakej-pakej pelancongan di setiap hentian tersebut.

“Dengan kerjasama persatuan pemandu-pemandu pelancong, mereka boleh membawa para pelancong untuk melawat ke tempat-tempat menarik di setiap hentian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Pelancaran Perkhidmatan Bas HoHo Fasa Dua bersempena dengan Perak International Trade Exposition (PIEX) di Stadium Indera Mulia, dekat sini, hari ini.

Selain itu tambah Kar Hing, bersempena dengan pelancaran tersebut, kerajaan negeri di bawah portfolio beliau mengumumkan harga promosi perkhidmatan selain menyediakan dua jenis pas iaitu pas untuk sehari dan pas untuk dua hari.

Harga promosi bagi pemegang MyKad untuk dewasa bagi pas sehari ialah RM12 dan RM20 untuk dua hari manakala bagi golongan kanak-kanak, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) pula ialah RM 10 untuk pas sehari dan RM 20 untuk dua hari.

Bagi bukan pemegang MyKad, harga promosi untuk dewasa ialah Rm35 (pas sehari) dan RM60 (pas dua hari) manakala RM 20 (pas sehari) dan RM 35 (pas dua hari) dikenakan kepada golongan kanak-kanak, warga emas dan OKU.

“Frekuensi pusingan bagi perkhidmatan Bas Hoho Fasa kedua ini bagi ‘in-circuit’ atau dalam kawasan Ipoh adalah sebanyak enam kali untuk satu bas, manakala out-circuit pula sebanyak enam kali untuk dua bas,” katanya.

Dalam pada itu, ujar Kar Hing, sepanjang perkhidmatan Bas HoHo dijalankan, ia telah berjaya menarik 3,053 pelancong bagi menggunakan perkhidmatan tersebut.

Daripada angka tersebut seramai 2,831 adalah pelancong domestik dan 222 pula adalah pelancong antarabangsa yang difahamkan terdiri daripada warganegara Jepun, China, Indonesia dan Singapura.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");