Berita Hari Ini

Permohonan Pindah Kes Rasuah Zahid ke Mahkamah Tinggi Didengar 28 Nov

Pendengaran penuh untuk permohonan memindahkan kes rasuah berhubung sistem visa luar negara (VLN) dihadapi bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, ditetapkan 28 November depan.

Hal itu ditetapkan dalam pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini di hadapan timbalan pendaftar Elyana Razali.

Ahmad Zahid yang tidak hadir tadi, diwakili peguam, Aiman Abdul Rahman, manakala pihak pendakwaan diwakili timbalan pendakwa raya Azizah Halim dan Iznani Hashim.

“Itu saja status untuk hari ini, sebab sepatutnya hari ini kalau hakim ada, kita akan dengar (permohonan) mungkin ke tengah hari ini.

“Tapi Hakim Noorin Badaruddin tak ada, dia di luar negara,” kata Aiman ketika ditemui selepas pengurusan kes.

Ahmad Zahid berdepan 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung sistem VLN semasa beliau menjadi menteri dalam negeri ketika itu.

Pada 31 Julai lepas, pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk memindahkan tujuh pertuduhan bagi dibicarakan bersama 33 lagi pertuduhan rasuah berhubung VLN yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen di Shah Alam.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan semula itu pada 28 Ogos lepas kerana tidak menemui kekhilafan dalam perintah pemindahan kes ke Mahkamah Sesyen Shah Alam yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948.

Daripada 40 pertuduhan dihadapinya, tujuh daripadanya dihadapi pada 26 Jun melibatkan S$4.24 juta yang dikatakan diterimanya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Beliau dituduh menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai menteri untuk melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan sistem VLN.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM).

Sebanyak 33 lagi pertuduhan dihadapi pada 27 Jun, apabila beliau dituduh menerima rasuah melibatkan RM42.76 juta semasa menjadi Menteri Dalam Negeri.

Bagi 26 pertuduhan, beliau didakwa menerima rasuah dari syarikat sama berjumlah S$9,320,000 ketika menjadi menteri untuk melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di negara China dan sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Kesalahan itu dikatakan dilakukan antara Oktober 2014 dan Julai 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid sebagai menteri ketika itu didakwa telah menerima wang tunai S$150,000, RM325,000, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan dari syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu antara Jun 2015 dan April 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");