Berita Hari Ini
Like

‘Peruntukan Untuk Pertubuhan Belia Diselaras, Bukan Dipotong’

November 13, 2019
192 Views
0 Comments
1 minute read
‘Peruntukan Untuk Pertubuhan Belia Diselaras, Bukan Dipotong’

Peruntukan bagi pertubuhan-pertubuhan belia tidak dipotong tetapi telah diselaraskan semula bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada pelaksanaan program dan bukan hanya tertumpu kepada perbelanjaan pentadbiran sahaja, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kebanyakan persatuan belia pada masa ini, mahu memiliki pejabat dan kakitangan sendiri menyebabkan peruntukan tidak mencukupi untuk dibelanjakan bagi pelaksanaan program di peringkat akar umbi.

“Sekarang kita mahu pertubuhan belia itu memfokuskan kepada pelaksanaan program di peringkat akar umbi dan memberikan kertas kerja yang boleh diaudit, supaya kita tahu akhirnya wang itu disalurkan bagi tujuan produktif,” katanya pada sesi jawab lisan.

Beliau menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) yang meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan rasional peruntukan terhadap persatuan belia dipotong dan hala tuju belia yang dirancang oleh kementerian itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata kementerian mahu cipta satu sistem insentif untuk pertubuhan belia supaya mereka perlu melibatkan lebih banyak kepimpinan wanita dan anak muda di bawah umur 30 tahun dalam sistem kepimpinan mereka.

“Hala tuju pada tahun depan kita akan berunding dengan setiap satu pertubuhan di peringkat kebangsaan untuk memberikan insentif kepada persatuan yang melantik lebih banyak wanita serta anak muda dalam struktur kepimpinan bawah umur 30 tahun,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.