Perak Hari Ini
Like

PORT Lancar Dana Kreatif Perak Untuk Penggiat Seni Tempatan Negeri

November 26, 2019
467 Views
0 Comments
3 minutes read
PORT Lancar Dana Kreatif Perak Untuk Penggiat Seni Tempatan Negeri

IPOH – Para penggiat seni kreatif di Perak yang berada dalam lingkungan umur 18 sehingga 45 tahun kini boleh mendapatkan bantuan dana sehingga RM10,000 daripada Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) menerusi Dana Kreatif Perak @ PORT.

Inisiatif tersebut merupakan satu skim bantuan seni yang memberi keutamaan kepada pengkarya atau pihak yang terlibat dalam bidang kreatif kelahiran Perak atau yang sudah bermastautin di negeri ini sekurang-kurangnya lima tahun.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata tujuan pelaksanaan skim Dana Kreatif Perak @ PORT adalah sebagai membantu menyokong usaha-usaha mengembangkan lagi industri kreatif di negeri ini sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa.

“Buat permulaan saya telah meluluskan dana permulaan RM100,000 kepada inisiatif ini dan saya ingin melihat sambutan yang dibuat oleh para karyawan.

“Jika usaha ini dapat membantu dan memberi sumbangan kepada ekonomi negeri, berkemungkinan nilai suntikan dana itu akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah PORT berharap pelepasan cukai sehingga RM 1 juta bagi tujuan sumbangan kepada industri seni yang diumumkan Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2020 akan dapat menarik minat lebih ramai pihak swasta lain untuk turut menyumbang kepada inisiatif PORT tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Santai dan Pelancaran Dana Kreatif Perak @ PORT dekat sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Kesenian & Kebudayaan Negeri merangkap Ahli Lembaga Pengarah PORT, Tan Kar Hing; Ahli Lembaga Pengarah PORT, Datuk Zainol Fadzi Paharudin serta Pengurus PORT, Syed Zarul Hisham Syed Khairuddin.

Sementara itu, menurut Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin bantuan dana akan diberi kepada setiap permohonan yang mana ia bergantung kepada kertas kerja yang dihantar dan pemohon hanya layak memohon sekali sahaja bagi setiap tahun.

“Semua kertas kerja itu akan melalui penilaian oleh Jawatankuasa Penilai yang dilantik khas dan untuk kali pertama ini ia mendapat kerjasama oleh Pejabat Menteri Besar Perak.

“Inisiatif ini akan memberi fokus kepada tiga komponen seni iaitu seni visual, seni persembahan dan seni muzik,” jelasnya.

Pada masa sama, sutradara filem terkenal, Mamat Khalid yang hadir pada majlis tersebut menyambut baik usaha menerusi bantuan dana tersebut.

“Ia adalah satu lonjakan yang dapat memberi semangat kepada anak-anak muda untuk terus berkarya. Sebelum ini banyak karya tetapi tiada platform.

“Dengan adanya usaha ini, diharap akan ramai anak muda datang ke PORT untuk memohon dana tersebut,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.