Berita Hari Ini

Salahuddin Pertahan Ceramahnya Di Tg Piai Didakwa Rasis

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mempertahankan dakwaan ceramahnya ketika berkempen di Tanjung Piai bersifat perkauman.

Salahuddin ketika ditanya menjelaskan beliau hanya memberi peringatan mengenai pendirian Umno-PAS pada masa lalu.

“Apa bila berlakunya pertembungan ataupun isu-isu agama dan kaum itu dimainkan secara melampau sehingga berlakunya huru hara berlakunya pembunuhan rakyat tidak lagi dapat menikmati hidup dengan lebih baik dalam negara kita.

“Oleh itu saya mengingatkan jangan kita mengeluarkan kenyataan yang berbau sebagaimana saya maksudkan melalui ucapan-ucapan yang begitu rasis yang kadang-kadang berlakunya ucapan agama yang begitu melampau,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Terdahulu hari ini, Anggota Parlimen Padang Terap, Mahdzir Khalid menyatakan rasa terkejut dengan sebuah klip video yang ditularkan dalam media sosial sejak semalam, yang mana Salahuddin didakwa menggambarkan suasana perkauman sekiranya Umno dan PAS menjadi kerajaan satu hari nanti.

“Dia membayangkan kalau Umno dan PAS menjadi kerajaan negara ini (menjadi) hura hara (akan) ada pembunuhan.

“Bagaimana seorang bertaraf menteri turun untuk berkempen mengeluarkan kenyataan sebegini? Pada saya tuduhan ini sangat rasis,” kata Mahdzir kepada pemberita di lobi parlimen tengah hari tadi.

Malaysiakini turut melihat klip video berdurasi 1.23 minit itu yang mana Salahuddin berkata bahawa negara akan menjadi huru-hara jika Umno dan PAS menjadi kerajaan.

Bagaimanapun, beliau tidak didengar menggunakan perkataan ‘pembunuhan’ seperti yang didakwa Mahdzir.

Salahuddin yang juga MP Pulai meminta calon BN, Wee Jeck Seng menyatakan pendiriannya sekiranya beliau bersetuju dengan ucapan seorang pemimpin daripada parti agama yang memberitahu bahawa Wee sebagai kafir zimmi, manakala bukan Islam di pihak lain sebagai kafir harbi.

“Semalam dalam satu ceramah BN di Tanjung Piai ada penceremah di bilik gerakan BN mengatakan bahawa calon yang kita sokong ini iaitu MCA, adalah kafir zimmi, dan menuduh pula yang bukan Islam di pihak lain sebagai kafir harbi,” katanya.

Bagaimanapun, Salahuddin tidak menyebut nama parti yang dimaksudkannya itu.

“Adakah kita suka dengan ucapan itu? Saya nak tanya Wee Jeck Seng adakah dia gembira dengan kenyataan sebegitu?

“Jadi, itu yang saya peringatkan supaya jangan ada ucapan-ucapan seperti ini bermain dalam negara kita dan akhirnya esok akan menyebabkan negara kita tidak lagi aman dan timbulnya isu takfiri,” tambahnya.

Sementara itu, Salahuddin juga mendakwa terdapat parti agama yang terus memainkan isu-isu perkauman memetik MKini lagi.

“Kalau tak ikut kumpulan kami, kamu nanti munafik, kamu akan mati masuk neraka, ini berlaku negara kita dalam hari ini. Ini ideologi parti itu,” katanya lagi.

Salahuddin turut mengimbas ucapan Najib Razak sewaktu menjadi ketua pemuda Umno pada 1987.

“Saya memperingatkan bahawa beberapa bulan sebelum menjelang Ops Lalang tahun 1987, pergerakan pemuda Umno yang dipimpin oleh Najib Razak waktu itu, berucap “basahkan keris dengan darah Cina”

“Dia tidak pernah minta maaf atas ucapan itu sehingga beliau menjadi perdana menteri keenam.

“Maka, mana-mana parti yang bermain perkauman dengan isu yang melampau berkawan dengan parti agama yang melampau maka kita kena berhati-hati,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");