Berita Hari Ini
Like

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan: Anugerah Hasil Kerja Keras 45 Tahun – Lee

November 9, 2019
240 Views
0 Comments
3 minutes read
Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan: Anugerah Hasil Kerja Keras 45 Tahun – Lee

KUALA LUMPUR – Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan anugerah diterimanya bersempena sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019 peringkat kebangsaan, adalah hasil usaha dan kerja kerasnya menyumbang kepada negara dan masyarakat melalui pelbagai bidang selama 45 tahun.

Lee, 73, antara empat penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini, berkata pengiktirafan diraihnya itu terutamanya melalui penglibatan aktif dan sumbangan beliau dalam aspek memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai betapa pentingnya mengamalkan budaya keselamatan.

“Saya baru-baru ini mewujudkan badan bukan kerajaan (NGO) baharu dinamakan Ikatan Komuniti Selamat di mana fokus saya untuk didik semua lapisan masyarakat supaya mereka jadi lebih prihatin tentang aspek keselamatan yang mereka amat perlukan.

“Anugerah ini sebagai suntikan semangat kepada saya untuk terus ke hadapan bersama dengan anggota Ikatan Komuniti Selamat dan NGO lain dan akan berusaha bersama-sama dengan semua agensi dan jabatan kerajaan untuk meneruskan sumbangan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah itu pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1441H/2019 di sini hari ini, yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, lapor Bernama.

Tiga lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul ialah ahli akademik Prof Datuk Dr Asma Ismail, pelopor Hospital Mesra Ibadah Datuk Dr Khalid Ibrahim dan aktivis kemanusiaan Mohd Azmi Abdul Hamid di mana kesemua mereka masing-masing menerima wang tunai RM20,000, trofi serta sijil penghargaan.

Sementara, pakar perundangan syariah, Datuk Daud Muhammad dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2019.

Lee berkata melalui NGO baharu itu, beliau bertekad akan menggembleng tenaga dan kepakaran yang ada untuk menyampaikan ilmu pengetahuan berkaitan keselamatan kepada pengusaha institusi tahfiz di negara ini.

Sementara itu, bekas wartawan New Straits Times (NST) Najib Abdul Rahman menyifatkan pemilihan Lee sebagai amat tepat sekali, sambil menyifatkan Lee sebagai seorang rakyat Malaysia yang sejati.

“Wartawan kalau tak ada story (berita) boleh telefon rumah dia walaupun selepas pukul 12 tengah malam dia pasti jawab panggilan kita.

“Hari Raya dia akan datang pejabat bawa kuih raya, dia kata hanya perlu tidur tiga jam saja sehari. Memang wajar dia dapat Anugerah Maulidur Rasul,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Lee sebelum ini pernah menjawat jawatan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), selain ketika ini menyandang jawatan Pengerusi Yayasan EcoWorld dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS); Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Penaung Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor serta Persatuan Psikiatri Malaysia.

Beliau juga adalah Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental serta Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia.

Komen & Pendapat

Comments are closed.