Perak Hari Ini

Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak: Agong Terima Darjah Kebesaran Perak

IPOH: Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-63, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang bakal diraikan pada 1 November ini, Baginda telah berkenan untuk berkenan untuk mengurniakan Darjah Kerabat (DK) kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri´ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata selain itu, Sultan Perak turut berkenan untuk menyampaikan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak kepada 19 orang penerima.

Katanya Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak itu akan berlangsung pada 10 November di Balairung Seri Istana Iskandariah Kuala Kangsar.

Manakala Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak bagi sesi kedua yang melibatkan 234 penerima pula akan berlangsung pada 16 November di tempat sama.

Kesemua penerima terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, penjawat awam, ahli akademik, anggota unit beruniform, atlet dan sebagainya.

“Tarikh pengurniaan Darjah Kerabat kepada Yang di-Pertuan Agong akan diumumkan kelak,” katanya dalam satu sidang media di Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu katanya, sebanyak tujuh acara kesemuanya telah disusun bagi memeriahkan lagi dengan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Kali Ke-63 tahun ini.

Katanya sambutan akan bermula dengan majlis kesyukuran, bacaan Yassin, dan bacaan doa selamat yang bakal berlangsung di semua masjid di Perak pada waktu Solat Jumaat, 1 November ini.

Pada 9 November pula, Majlis Santapan Diraja akan berlangsung di Dewan Santapan Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.

Keesokannya, Sultan Perak dijadualkan berkenan berangkat ke Istiadat Kawalan Kehormatan di Perkarangan Istana Iskandariah, sebelum Baginda berangkat ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia, Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah Kebesaran di Balairung Seri Istana Iskandariah.

Pada 17 November, acara Larian Keputeraan di Kuala Kangsar akan mengambil tempat dan seterusnya Baginda dijadualkan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Kampar pada sebelah petangnya.

“Rakyat diseru untuk sama-sama meraikan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan-bangunan pejabat, perniagaan, dan kediaman.

“Untuk menambahkan suasana meriah dan keceriaan menyambut kehadiran tetamu sempena berlangsungnya Majlis Santapan Malam, semua bangunan pejabat dan perniagaan dianjurkan untuk memasang lampu pada malam 9 November sehingga jam 12 tengah malam,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");