Berita Hari Ini

Sektor Pertanian Perlu Dimajukan Segera – Anwar

SELAYANG: Kerajaan perlu memberi penekanan serta lebih tumpuan terhadap sektor pertanian dan perladangan, termasuk mengenal pasti masalah yang menyebabkan petani dan peladang berdepan kesulitan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata biarpun sektor pembangunan fizikal penting bagi negara, pertanian juga mempunyai keupayaan melonjakkan ekonomi negara.

Katanya, dengan revolusi digital dan teknologi maklumat, ia sebenarnya membimbing perkembangan pertanian menjadi satu bidang maju dan berkembang pesat.

“Untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara, kalau pembangunan saja rancak sekarang, dengan mengenepikan golongan ini, ia tidak akan seimbang.

“Import bahan makanan dan ternakan sudah terlalu tinggi untuk negara. Dengan penduduk yang ada, kita sudah import RM52 bilion. Ikan segar, baja, sayur…ini terlalu tinggi,” katanya berucap merasmikan Program Jalinan Mesra Peladang 2019 di sini, sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin serta Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata biarpun terdapat agensi yang membuat penyelidikan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), hasilnya tidak digunakan sebaiknya untuk dikomersialkan.

“Kita sekadar ada penyelidikan yang MARDI buat, tapi tidak dapat diterjemahkan di peringkat komersial. Kita ada Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian yang besar, tapi peranannya tidak diperluas (untuk kembangkan sektor pertanian).

“Sekarang kita harus ada sikap baru untuk melonjak hal ini,” katanya sambil meminta kerajaan melihat semula keutamaan negara terutama mengatasi masalah kebergantungan tinggi bekalan import yang menyebabkan pengaliran wang negara ke luar.

Beliau akui biarpun peruntukan diberi kerajaan untuk sektor pertanian belum mencukupi, agihan kepada pihak yang lebih wajar perlu diberi keutamaan.

“Kalau ada tubuh badan tapi tidak dibantu, dia akan jadi persatuan biasa. Kena pastikan baja diperuntukkan menerusi NAFAS, biar dia hidup. Dulu, lembaga padi diswastakan, saya kurang setuju, tapi saya desak sebahagian saham diberi kepada NAFAS.

“Penanam padi itu membabitkan ahli peladang. NAFAS kalau diswastakan, diambil pihak swasta, ini akan membabitkan dasar. Sebab itu BERNAS (Padiberas Nasional) sekarang setuju untuk mengembalikan balik sebahagian saham atau kepentingan kepada peladang dan mungkin NAFAS.

“Saya setuju dan sokong supaya keuntungan dicatat nanti balik (dikembalikan) kepada penternak dan penanam padi. Dengan dasar seperti ini, kita boleh bawa perubahan (kepada sektor pertanian). Sebab itu peranan NAFAS penting,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");