Panasnya Hari Ini

Semua Keputusan Ditentu Majlis Presiden PH, Kabinet

MELAKA: Penentuan dasar oleh Jemaah Menteri atau keputusan politik oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) ialah hasil persetujuan bersama, walaupun pemimpin melontarkan pandangan berbeza-beza.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, berkata pada peringkat politik, parti komponen PH daripada AMANAH, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), dengan kerjasama Parti Warisan Sabah (WARISAN), sentiasa bermuafakat dalam menentukan sebarang keputusan.

Justeru, beliau menafikan penyatuan dan perbincangan melalui parti sukar dilakukan, malah tidak wujud istilah ‘kuda tunggangan’.

“Kita selesai melalui mesyuarat. Kalau politik, melalui Majlis Tertinggi PH. Kalau Kabinet, kerajaan dalam Kabinet. Apabila Perdana Menteri umum, itulah keputusan bersama.

“Ia (penyatuan dalam parti) tidak sukar, cuma berbeza pandangan. Kita ada lima parti, tetapi akhirnya keputusan ditentukan dalam Kabinet, dan ia diterima pakai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Negeri Melaka 2019, di Bandar Hilir, di sini, yang turut dihadiri Pengerusi AMANAH negeri yang juga Ketua Menteri, Adly Zahari, lapor BH Online.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau yakin dengan keutuhan semua parti yang terjalin, malah percaya PH mampu untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) pada masa akan datang.

Terdahulu, Mohamad Sabu dalam ucapannya berkata, serangan laporan media tempatan yang menyifatkan wujud istilah kuda tunggangan dalam perbincangan bersama parti, menjadikan PH seolah-olah dilihat berpecah-belah.

Laporan media yang disebut itu antaranya mengatakan Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebagai pencacai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, dan orang Melayu menjadi ‘barua’ kepada DAP.

Dalam perkembangan lanjut, Adly Zahari menyarankan semua ahli AMANAH di Melaka supaya lebih berani melaksanakan agenda untuk rakyat supaya dapat menyumbangkan kualiti perkhidmatan kepada gabungan parti negeri.

“Semua ahli parti ada kebimbangan untuk melaksanakan sesuatu perkara kerana mereka mungkin baharu jadi kerajaan. Belajar jadi kerajaan. Namun saya yakin, mereka mempunyai keupayaan tinggi berdasarkan setahun lima bulan pentadbiran kerajaan PH,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");