Perak Hari Ini

Seru Kerajaan Ambil Alih Bantu Kos Penyelidikan Orang Utan

BAGAN SERAI- Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM) menyeru kerajaan supaya membantu mereka dari segi kewangan untuk meneruskan kesinambungan dalam menjalankan kajian dan penyelidikan bagi pemulihan orang utan.

Pengasasnya, Tan Sri Datuk Dr Mustapha Kamal Abu Bakar berkata, ramai yang membuat andaian bahawa spesis orang utan akan pupus pada masa akan datang, tetapi tiada sesiapapun yang berbuat sesuatu.

“Saya cabar kerajaan bantulah yayasan dengan memberikan sedikit peruntukan untuk yayasan ini menjalankan kerjasama dengan institusi-institusi luar bandar membuat kajian serta penyelidikan untuk pemulihahan serta rehabilitasi untuk orang utan.

“Saya bersama beberapa individu telah memulakan kajian mengenai orang utan dan berharap agar kerajaan dapat mengambil alih kemudian dibawa ke tahap yang lebih tinggi kerana asanya telah kami tubuhkan,” katanya kepada media di Pulau Orang Utan, semalam.

Katanya, pihak yayasan tidak mempunyai kapasiti dari segi kewangan untuk dibawa ke tahap seterusnya.

“Kami cuma ingin minta ubat-ubatan, peralatan dan keperluan lain untuk menaiktaraf kemudahan yang sedia ada kerana keadaan kini boleh diibaratkan ‘kais pagi makan pagi-kais petang makan petang’.

“Ranger-ranger yang sedia ada adalah penduduk setempat yang dilatih oleh Dr Sabapathy iaitu CEO YPOUBM di mana mereka perlu didedahkan kepada dunia luar.

“Dana tersebut diperlukan kerana yayasan bukanlah satu organisasi yang berasaskan kepada keuntungan semata-mata tetapi untuk kebaikan penyelidikan ini,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut berkesempatan menyaksikan satu majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YPOUBM bersama Seoul Grand Park Zoo (SGPZ) yang mana pulau tersebut akan terus menjadi pusat rujukan saintifik untuk orang utan.

Tambah Mustapha, pihak SGPZ telah datang mempelawa diri untuk berkerjasama dan mengiktiraf YPOUBM kerana penyelidikan yang dibuat adalah bertaraf antarabangsa.

Kata Ketua Pengarah SGPZ, Song Chun-hun, kerjasama tersebut adalah untuk meningkatkan kecekapan di dalam bidang zoologi, terutama berkenaan dengan spesies orang utan.

“Pihak kami amat gembira dengan kerjasama ini kerana YPOUBM terkenal di seluruh dunia di dalam kapasiti pemuliharaan dalam aspek primatologi seperti tingkah laku haiwan primitif dan ekologinya, penjagaan serta di dalam aspek perubatan veterinar dan biologi pemuliharaan,” katanya.

Menurut Mustapha, beliau juga tidak menyangka bahawa selepas tertubuhnya yayasan tersebut, ianya mendapat pengiktirafan oleh dunia di mana yayasan tersebut menjadi salah satu program ‘ex-situ’ iaitu program pertempatan orang utan di luar habitat asal

Pada mulanya YPOUBM dibiayai oleh Mustapha Kamal dengan sumbangan berjumlah RM1 juta melalui Yayasan EMKAY, sejurus itu YPOUBM juga telah melabur sebanyak RM 6.62 juta untuk program penyelidikan dan pendidikannya orang utan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");