Berita Hari Ini

Sime Darby Tidak Tergesa-Gesa Lupus Aset Bukan Teras – CEO

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd merancang untuk mengurangkan aset bukan terasnya, walaupun ia tidak tergesa-gesa untuk melakukannya, sebagai sebahagian daripada rancangan lima tahunnya bagi mewujudkan nilai bagi kumpulan, dua tahun selepas pengasingan penggabungan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya (CEO), Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata kumpulan itu mencatatkan kemajuan dalam pelan penyusunan semula aset bukan terasnya dengan beberapa penjualan selesai dalam tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2019.

Ia termasuk penjualan Weifang Sime Darby Water Management Co Ltd dan Sime Darby Global Service Centre, serta menarik diri daripada Fiat dan Alfa Romeo di Australia.

“Kami amat jelas dalam hala tuju kami melupuskan aset bukan teras kami. Bagaimanapun, kami tidak berada di kedudukan terdesak untuk menjual. Kami akan terus menimbang pilihan kami dan menjual apabila masa dan penilaian adalah optimum,” katanya kepada BERNAMA dalam satu temu bual baru-baru ini.

Ketika ini, aset bukan teras Sime Darby termasuk 12 peratus pegangan dalam Eastern & Oriental, 3,561.23 hektar tanah di Malaysia Vision Valley di Negeri Sembilan dan 30 peratus pegangan dalam Tesco Malaysia.

“Apabila tanah di Malaysia Vision Valley dimajukan, kami kemudiannya akan menjualnya apabila ia menjadi semakin maju di sini,” kata Jeffri.

Pengasingan penggabungan kumpulan Sime Darby selesai pada 10 November 2017 dengan penyenaraian berasingan tiga entitinya.

Sime Darby kini menumpukan kepada sektor perindustrian, motor dan penjagaan kesihatan. Kumpulan itu adalah satu daripada pengedar terbesar jenama BMW dan Caterpillar di dunia.

“Pengasingan penggabungan itu membolehkan Sime Darby mengemudi laluan kami sendiri dan menumpukan kepada perniagaan dagangan teras kami iaitu motor dan perindustrian (peralatan) serta penjagaan kesihatan, yang masih agak kecil tetapi kami merancang untuk mengembangkannya,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu menggariskan strateginya bagi tempoh lima tahun akan datang menerusi Pelan Penciptaan Nilai lima tahun yang menumpukan kepada beberapa bahagian, termasuk pengukuhan hasil, pengoptimuman kos, penjanaan wang daripada aset bukan teras, penggabungan dan pengambilalihan sinergi dan pengembangan bahagian penjagaan kesihatan.

Jeffri berkata, Sime Darby perlu mengembangkan perniagaannya secara organik dan menerusi pengambilalihan dengan tumpuan berterusan kepada Asia Pasifik.

“Dari satu segi kita ada rizab dana. Kita mempunyai peluang untuk membeli apabila orang berusaha untuk menjual (tetapi) itu semua bergantung kepada penilaian,” katanya.

Sime Darby melabur sebanyak RM1 bilion dalam tahun kewangan semasa berakhir pada 30 Jun 2020, bagi pengambilalihan Gough Group dan tiga wakil pengedar Trivett di Australia.

Beliau berkata, pengambilalihan Gough Group adalah suatu yang menarik kerana bukan selalu wakil pengedar Caterpillar dijual dan ia juga mencerminkan rekod prestasi dan hubungan baik Sime Darby dengan Caterpillar.

Menurutnya, pengambilalihan itu penting kerana pasaran agak sunyi tahun ini dari segi penggabungan dan pengambilalihan.

“Kami mahu meluangkan masa membuat persiapan dua pengambilalihan itu bagi memastikan ia dapat disepadukan dengan baik ke dalam sistem kami. Selain daripada pengambilalihan ini, kami terus mencari peluang dalam segmen perindustrian dan motor,” katanya.

Beliau berkata, Sime Darby juga menimbang pengembangan organik ke dalam perniagaan seperti pemasangan kenderaan, pengurusan aset dan penyelesaian sewaan untuk mengembangkan asas pendapatannya dan meningkatkan profil pendapatan berulangnya.

Ditanya sama ada kumpulan itu merancang untuk mengembangkan perniagaan penjagaan kesihatannya dalam tahun kewangan semasa, Jeffri berkata Sime Darby tidak mahu tergesa-gesa.

“Kami mencari pengambilalihan dalam segmen penjagaan kesihatan tetapi semua orang mencari pengambilalihan dan harga sekarang, pada pandangan kami adalah tinggi. Bagi setiap hospital yang anda lihat, ada lima lagi orang yang turut melihatnya, dan ia cenderung untuk menaikkan harga.

“Kami mencuba dan mengehadkan tindakan kami. Kami tidak mahu terlebih bayar,” katanya.

Ketika ini, Sime Darby memiliki usaha sama 50:50 dengan Ramsay Healthcare dalam pengurusan hospital dan peruntukan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Menerusi usaha sama itu, Sime Darby ketika ini mempunyai tiga hospital di Malaysia dan tiga lagi di Indonesia serta sebuah pusat pembedahan harian di Hong Kong yang ditubuhkan pada tahun kewangan 2019. Kumpulan itu terbabit dalam sektor penjagaan kesihatan sejak 1985. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");