Perak Hari Ini

Speaker DUN Perak Jelas Mengapa Ketua Pembangkang Tidak Diberikan Ruang Untuk Menggulung

IPOH: Peluang untuk terlibat dalam sesi pergulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang diberikan kepada ketua pembangkang kini dibatalkan.

Speaker DUN Datuk Ngeh Koo Ham berkata keputusan itu dibuat selepas mendapati Datuk Saarani Mohamad tidak menggunakan peluang untuk berbahas yang diberikan dalam tempoh sejam dengan baik.

“Niat saya adalah supaya ketua pembangkang dapat menggunakan masa itu dengan baik dan membangkitkan perkara-perkara yang terlepas pandang atau tidak disebut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang lain.

“Tetapi saya mendapati Saarani menggap ia adalah seperti ‘debat sekolah’. Dia membuat rumusan dan mengulangi apa yang telah dibincangkan serta dibahaskan. Ia sepatutnya tidak perlu diulang,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Merujuk kepada persidangan-persidangan DUN yang lepas, Koo Ham berkata Saarani yang juga ADUN Kota Tampan dilihat tidak memberikan hujah yang bernas selain menyalahgunakan ruang yang diberikan sebagai tempat untuk berpolitik dan melemparkan tuduhan melulu kepada kerajaan.

Ujar Koo Ham sekiranya Saarani dapat menggunakan ruang yang diberikan itu dengan baik, pihaknya tidak ada masalah untuk terus memberikan ruang kepada ketua pembangkang untuk menggulung.

“Oleh kerana beliau telah menyalahgunakan ruang itu, kita kembali kepada peraturan asal yang sedia ada iaitu, memberikan beliau ruang berucap hanya sekali.

“Jika seseorang itu boleh berbahas dengan tepat dan padat, pada saya tempoh masa satu jam sudah mencukupi,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya tempoh masa berbahas itu tidak mencukupi, pihaknya sedia mempertimbangkan untuk menambah masa berbahas bagi ketua pembangkang sebanyak 30 minit hingga satu jam lagi.

Pada November tahun lepas, Koo Ham mengumumkan bahawa ketua pembangkang diberikan tambahan masa untuk berbahas daripada 40 minit kepada sejam malah diberikan tambahan sejam lagi ketika sesi penggulungan.

Terdahulu, hari ini Saarani dalam sidang media berasingan mempertikaikan keputusan DUN Perak yang menarik ruang untuk beliau menggulung pada persidangan kali ini.

Ketika pembukaan persidangan DUN Perak pada pagi tadi, Timbalan Speaker DUN Perak, Aminuddin Zulkapli mengumumkan bahawa ketua pembangkang hanya dibenarkan untuk berucap sekali sahaja.

Katanya ketetapan itu dibuat berdasarkan kepada Perkara 35 (4) Perintah Tetap DUN Perak yang berbunyi, ‘seseorang ahli yang telah berucap dalam satu-satu masa itu boleh berucap dalam menerangkan apa-apa perkara besar dalam ucapannya yang telah menimbulkan salah faham, tetapi dia tidak boleh menimbulkan perkara-perkara baru.’

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");