Berita Hari Ini

SPRM Siasat 16 Projek Tukar Tanah Milik Kerajaan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat 16 kes projek pertukaran tanah milik Kementerian Pertahanan yang didakwa menyebabkan kerugian dan ketirisan hasil kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata pihaknya memerlukan lebih masa untuk menyiasat kes itu, selain mengakui berdepan kesukaran untuk mendapatkan sebahagian bukti berkaitan.

“Urusan pertukaran tanah yang diberi membabitkan senarai kes panjang sejak lebih 25 tahun lalu.

“Dalam tempoh itu, ia membabitkan Menteri Pertahanan yang berlainan dan ramai penjawat awam bertukar. Ia (siasatan) bukan begitu mudah dengan hanya menyerahkan kepada kita laporan audit kerana kita perlu tahu kenapa urusan itu dilakukan.

“Kes itu masih dalam siasatan dan saya percaya bukan setiap kes akan membawa kepada pendakwaan, jadi kami memerlukan masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2019 bertema ‘Membina Kepercayaan dan Ketelusan: Bekerjasama, Mempercepat, Memperkukuh’ di sini, lapor BH Online.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, semalam bahawa SPRM hanya membuka satu kertas siasatan daripada 16 kes projek pertukaran tanah Kementerian Pertahanan.

Berhubung isu pembelian enam helikopter tempur ringan MD530G bernilai RM321.9 juta yang belum diterima, Latheefa berkata, kertas siasatan mengenainya sudah dibuka.

“Ia adalah kes dalam siasatan. Kita akan beritahu apabila sudah selesai,” katanya.

Semalam, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata kementerian itu sedang mengadakan rundingan akhir berhubung tindakan bakal dikenakan terhadap pihak yang terbabit dalam isu pembelian enam helikopter tempur ringan MD530G bernilai RM321.9 juta yang belum diterima.

Katanya, rundingan itu membabitkan pejabat Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan SPRM dan satu keputusan mengenainya akan diambil secepat mungkin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");