Perak Hari Ini

Sultan Perak Berangkat Ke Majlis Bersama Rakyat Di Gopeng

GOPENG – Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan Sultan Perak diserikan lagi dengan keberangkatan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim ke Majlis Bersama Rakyat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini, hari ini.

Turut berkenan berangkat sama ialah Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris serta Raja Puan Muda Besar Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

 

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohd Radzi serta barisan exco kerajaan negeri.

Majlis tersebut dihadiri sekitar 2,000 tetamu yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Ketika berucap pada majlis, Menteri Besar berkata sehingga kini, kerajaan negeri telah berjaya menyiapkan 7,000 unit buah rumah mampu milik bgai projek Rumah PerakKu manakala 11,000 unit lagi sedang dalam pembinaan khusus buat golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Selain itu katanya lagi, seramai 2,700 keluarga daripada 12 Rancangan Perkampungan Tersusun telah mendapat manfaat daripada projek infrastruktur yang melibatkan peruntukan RM5 juta.

Tambahnya lagi, bagi tahun ini, seramai 17 ribu isi rumah telah mendapat manfaat daripada program Kad Perak Prihatin manakala sebanyak 72,000 Kotak Harapan telah diagihkan dalam tempoh sama.

“Insya-Allah, semua usaha ini akan diteruskan dalam Belanjawan Negeri Perak 2020 yang dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Jumaat lepas. Antara intipatinya ialah jumlah penerima Kad Perak Prihatin akan ditingkatkan kepada 20,000 isi rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata Perak kini telah berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.3 peratus sepanjang tahun lalu selain kadar pengangguran di negeri ini telah menurun.

“Momentum ini dijangka akan diteruskan untuk tahun ini susulan kemasukan pelaburan berjumlah RM1.72 bilion sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

“Penganjuran Ekspo Antarabangsa Perak (PIEX) 2019 yang melabuhkan tirainya dijangka akan melonjakkan lagi jumlah pelaburan dan perdagangan negeri ini dalam menzahirkan hasrat mempelbagaikan aktiviti ekonomi negeri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");