Berita Hari Ini

Syed Saddiq Harap Isu MB Perak-DAP Diselesai Secara Keluarga

Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap kontroversi kenyataan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mengenai DAP dapat diselesaikan secara “keluarga” dalam PH.

“Kita satu keluarga, Bersatu DAP Amanah dan PKR. Kekuatan kita adalah kekuatan bersama.

“Kalau ada perbezaan pendapat pun kita selesaikan sebagai satu keluarga. Kita perlukan satu sama lain,” katanya ketika ditemui pemberita di ceramah di Tenggayun, Tanjung Piai di Johor, semalam.

Kata Syed Saddiq lagi, walaupun beliau juga sering berbeza pendapat dengan pemimpin parti komponen PH yang lain, isu tetap dapat diselesaikan secara baik.

Video memaparkan percakapan Faizal tersebar semalam yang memaparkan beliau mendakwa berseorangan dalam ‘melawan puak-puak DAP’ demi ‘mempertahankan tanah Melayu dan agama Islam’.

“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.

“Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” katanya kepada sekumpulan penduduk tempatan dalam satu pertemuan tidak rasmi.

Calon Pakatan Harapan (PH) di Tanjung Piai, Karmaine Sardini juga dilihat dalam rakaman video berkenaan.

Bagaimanapun Faizal kemudian mendakwa kenyataannya itu diambil di luar konteks.

“Saya telah mengatakan bahawa saya telah melalui banyak (pengalaman) di Perak dan terdapat pemimpin DAP cuba jatuhkan saya.

“Apa yang penting ialah kita semua bekerjasama rapat,” katanya dipetik Free Malaysia Today.

Ditanya adakah wajar Faizal membuat permohonan maaf susulan kenyataannya itu, Syed Saddiq kelihatan mengelak untuk jawab.

Menteri belia dan sukan itu juga dilihat mengelak ketika wartawan bertanya di dalam grup Whatsapp bersama rakan media semalam.

Sebelum itu, wartawan – yang tidak menghadiri ceramah berkenaan – mempersoalkan sama ada Faizal patut memohon maaf, dengan memetik  laporan berita terdahulu yang melaporkan Syed Saddiq menggesa seorang ahli DAP memohon maaf.

Isu kenyataan Faizal itu terjadi dua minggu selepas Syed Saddiq menggesa Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu meminta maaf atas kritikan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Syed Saddiq kemudian kembali merujuk kepada komen awalnya dengan menambah bahawa DAP sentiasa didakwa sebagai parti anti-Melayu dan anti-Islam.

Selain itu, beliau juga kembali mengelak dan memberitahu bahawa akan menghadiri ceramah bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memetik MKini.

Terdahulu, media melaporkan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyifatkan kenyataan Faizal berkenaan DAP sangat memalukan.

Malah Farhash berkata pemimpin Bersatu itu tidak layak menjadi menteri besar.

Selain itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata PH perlu menumpukan kepada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai buat masa ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");