Berita Hari Ini

Tak Perlu Mesyuarat Sulit Nak Jadi PM – Anwar

KUALA LUMPUR: Pihak yang mahu merebut jawatan Perdana Menteri tidak perlu berpakat dengan kumpulan tertentu atau bermesyuarat secara sulit, sebaliknya perlu mengikut cara yang betul, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tidak halang sesiapa yang berminat (dengan jawatan Perdana Menteri), tapi ikut jalur biasa. Kalau tidak, nanti kita kena pakat dengan kelompok itu, kelompok ini, mesyuarat sulit sana sini. Jadi tak tumpu kerja.

“Apa masalah yang perlu diselesaikan? Masalah rakyat. Ekonomi harus dibangunkan, masalah rakyat harus diselesaikan. Kalau tak belajar lagi daripada pukulan teruk di Tanjung Piai, parah kita,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas laporan BH hari ini yang memetik sumber sebagai berkata pertemuan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dengan beberapa Ahli Parlimen BN dan PH di kediamannya malam kelmarin, antara lain membincangkan penubuhan kerajaan pintu belakang, bermula di Melaka.

Anwar juga menekankan kepentingan untuk pemimpin PH sentiasa berbincang dan memiliki hubungan baik dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pemimpin PH perlu segera belajar daripada kekalahan di Tanjung Piai dengan bersifat rendah diri apabila rakyat menunjukkan kegelisahan dan marah menerusi peti undi.

“Kalau masih lagi cara begini, pamer kuasa masing-masing, nak agih projek, nak beli orang, guna berita palsu, ini semua tak membantu kita,” katanya.

Ditanya sama ada kekalahan di Tanjung Piai akan membawa kepada usul undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir di Dewan Rakyat, Anwar menegaskan perkara itu hanya dirancang sekumpulan kecil individu.

“(Usul undi tidak percaya) tidak bangkit. Saya hubungi Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu, (Lim) Kit Siang, (Lim) Guan Eng hampir setiap hari, tidak bangkit sama sekali, tidak perlu pun kerana hubungan kita dalam kerjasama dan muafakat PH kuat.

“Yang tidak (percaya) itu hanya pinggiran, picisan yang tidak masuk dalam aliran PH, dalam mesyuarat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");