Perak Hari Ini

Tanggungjawab Pelihara Perpaduan Tidak Terletak Pada Kerajaan Sahaja

TAPAH: Tanggungjawab dalam memelihara nilai perpaduan di negara ini tidak hanya terletak pada pihak kerajaan semata-mata, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Menurutnya, kepelbagaian kaum di negara ini adalah satu keunikan yang mana ianya harus diraikan serta menjadi kebanggaan bersama.

Kata beliau, keakraban masyarakat di peringkat akar umbi hari dibajai dan diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat agar usaha ke arah perpaduan nasional dapat diteruskan serta mampu menjamin kestabilan negara.

“Perayaan Deepavali baru sahaja disambut secara rasminya pada 27 Oktober yang lalu, namun seperti mana lazimnya di Malaysia, kita memanjangkan sambutan perayaan demi menghidupkan semangat kekitaan dan kebersamaan itu.

“Program-program sambutan seumpama ini juga merupakan landasan terbaik untuk sentiasa mendekati rakyat dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala antara rakyat dan para pemimpin.

“Kerajaan hari ini sentiasa komited untuk memperjuangkan permasalahan rakyat akar umbi. Kerana kami sedar, asas yang kukuh dapat menjamin pembangunan negara yang lebih mampan dan konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Rakyat Dan Sambutan Deepavali Tapah di Arena Merdeka, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kestabilan adalah faktor yang penting bagi yakinkan pelabur dan menggerakkan agenda pembangunan negara supaya nasib rakyat pelbagai kaum dapat dibela.

Katanya adalah kesal apabila terdapat segelintir pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman dan agama dalam mencapai niat-niat tertentu sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Sebaik mana pun perancangan kerajaan, kita tidak akan mampu laksanakannya jika kita terpaksa berdepan dengan cabaran dalam menangani isu-isu ketegangan kaum . Jika ini berlaku, tiada sesiapa yang akan untung, malah yang paling rugi adalah rakyat.

“Justeru , saya ingin menyeru kepada semua pihak untuk membersihkan hati daripada sebarang sikap prasangka dalam kalangan kita, sebaliknya menumpukan kepada nilai-nilai kebersamaan cintakan negara dan bukannya membesar-besarkan perbezaan di antara kita,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Tambahnya, rakyat diseru untuk tidak meletakkan tanggungjawab tersebut sepenuhnya kepada kerajaan sebaliknya mereka harus menjadi duta kepada perpaduan.

Pada majlis yang dihadiri Exco Kerajaan Negeri, A Sivanesan itu, turut disampaikan sumbangan bantuan mangsa banjir kepada 51 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang dan Sungkai.

Sementara itu, seramai 30 individu pula telah menerima sumbangan khas bersempena Perayaan Deepavali dan 50 penerima lain telah menerima sumbangan khas daripada Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahmi Isteri-Isteri Harapan (KASIH).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");