Berita Hari Ini

Tertuduh Nafi Tekap Seterika Wap Di Kemaluan Pegawai Kadet Zulfarhan

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain di Mahkamah Tinggi hari ini ditunjukkan demonstrasi seterika wap yang digunakan tertuduh kedua ke atas mangsa.

Bahan bukti kes itu dibawa masuk ke mahkamah selepas Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim memohon demonstrasi dilakukan dan menerangkan tahap kepanasan seterika wap bersuhu rendah, pertengahan dan tertinggi.

Pada prosiding itu, Julia melakukan demonstrasi dengan tahap tertinggi suhu seterika dan wap dihalakan ke tapak tangan serta lengan seorang anggota polis mahkamah.

Apabila ditanya Julia adakah beliau terasa panas, anggota itu menjawab “ya, panas”.

Hakim, Azman Abdullah turut mencuba seterika tersebut dan menghalakan wap di tapak tangannya pada jarak sejengkal.

Terdahulu, semasa pemeriksaan balas oleh Julia, tertuduh kedua, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, 23, bersetuju semasa kejadian pada 22 Mei 2017 (di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat UPNM), Zulfarhan tidak memakai baju, sebaliknya hanya memakai “boxer” (seluar dalam lelaki yang longgar).

Julia: Saya cadangkan semasa kejadian, Zulfarhan tidak memakai baju hanya memakai “boxer”, walaupun seterika wap tidak menyentuh Zulfarhan, tetapi wap itu terkena Zulfarhan dan akan merasa sakit serta panas.

Azamuddin: Setuju Yang Arif.

Bagaimanapun dia tidak bersetuju dengan cadangan Julia, dia menggunakan seterika wap secara terus pada badan Zulfarhan, bukan hanya melalukan saja.

Azamuddin juga tidak bersetuju dengan cadangan Julia, dia tidak mengenakan seterika wap pada bahu dan peha Zulfarhan sekali, tetapi mengulangi perbuatan itu sekurang-kurangnya 18 kali.

Dia juga menolak cadangan menekap kemaluan mangsa menggunakan seterika wap kerana terdapat kesan melecur pada bahagian itu.

Azamuddin tidak bersetuju dengan cadangan Julia, semasa kejadian, dia dan tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, 23, mengikat tangan dan kaki Zulfarhan menggunakan tali taekwando.

Berhubung cadangan Julia dalam konteks ketenteraan tertuduh gagal mempraktikkan prinsip “no man left behind” kerana membenarkan rakan sepasukan dipukul dan diseterika, Azamuddin menjawab “tidak setuju”.

Julia: Saya cadangkan walaupun awak kata hubungan awak dengan Zulfarhan ibarat “seutas tasbih yang mana ada awalnya dan tiada penghujung”, setuju tak sekiranya saya katakan apabila tasbih itu putus sudah tiada penghujung?

Azamuddin: Setuju.

Kepada cadangan Julia mengenai hubungan tertuduh dengan Zulfarhan terputus apabila dia membiarkan rakannya dipukul selain mengenakan seterika wap dan gagal menghentikan perbuatan itu, Azamuddin berkata: “Tidak setuju”.

Sementara itu, semasa pemeriksaan semula oleh peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakilinya, tertuduh berkata, secara peribadi dia langsung tidak tahu perbuatan itu boleh menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan kerana tiada kesan pada bahu dan peha mangsa selepas melalukan seterika wap pada dua bahagian tersebut.

Pada 31 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan 18 pelajar UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh itu – Akmal, Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri menghadapi pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat UPNM antara 4.45 hingga 5.45 pagi 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi tertuduh – Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Semua tertuduh didakwa sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa untuk memerasnya mengaku mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 03-05 blok penginapan asrama Jebat UPNM di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 hingga 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Perbicaraan bersambung di depan hakim esok memetik FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");