Berita Hari Ini

Tiada Dasar Halang Ahli Politik Hadiri Program Di Sekolah

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching menegaskan tiada sebarang dasar yang menghalang wakil rakyat termasuk pihak pembangkang daripada menghadiri program-program yang dianjurkan sekolah.

Mengulangi pendirian itu, Teo menjelaskan semua majlis di sekolah yang melibatkan orang kenamaan atau individu tertentu hendaklah memohon kebenaran daripada kementerian melalui Pengarah Pendidikan Negeri

“Keutamaan hendaklah diberikan kepada menteri pendidikan, timbalan menteri pendidikan, ketua setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ketua pengarah pelajaran, pengarah pendidikan negeri atau wakil-wakil mereka untuk majlis perasmian sama ada di peringkat jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah atau di peringkat sekolah,” katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.

Beliau menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta penjelasan tentang sejauh mana KPM telah dan akan memberi kebebasan kepada wakil rakyat pembangkang untuk memasuki kampus dan sekolah bagi memenuhi undangan program.

Teo berkata Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan satu garis panduan kepada pentadbir sekolah melalui Surat Pekeliling Ikthisas Bil 3/ 2008 yang bertujuan memastikan program dijalankan di sekolah mencapai objektif ditetapkan selain kemudahan tidak disalah guna pihak luar.

Teo berkata di peringkat universiti awam, kerajaan berpendirian bahawa semua ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat memasuki ke kampus untuk memenuhi undangan program boleh berbuat demikian sekiranya program itu mendapat kelulusan pihak timbalan naib canselor

“Hal ini adalah selari dengan autonomi diberikan kepada pihak universiti untuk membuat keputusan berdasarkan kepada pertimbangan sewajarnya

“Ruang dan nikmat kebebasan yang diberikan kerajaan sewajarnya dimanfaatkan dengan penuh tangggunjawab dengan tidak mengganggu-gugat keharmonian institusi pendidikan tinggi sebagai rumah menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran insaniah,” katanya.

Menjawab tentang rasional langkah kerajaan menggabungkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Teo berkata kerajaan akan memastikan penggabungan itu tidak merugikan mana-mana pihak terlibat kerana ia dilihat dapat melonjakkan prestasi universiti ke tahap cemerlang.

“Penggabungan yang dirancang ini bakal memperkasakan hab pendidikan tinggi di negeri Terengganu serta memperkukuhkan bidang fokus sedia ada dan mengembangkan bidang fokus baharu supaya dapat diwujudkan melalui aktiviti rentas disiplin,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");