Perak Hari Ini

Tiada Kes Salah Guna Masjid Oleh Parti Politik Di Rujuk Ke Mahkamah – Asmuni

IPOH: Tiada sebarang kes berkenaan penyalahgunaan masjid atau surau yang berkaitan dengan tujuan politik kepartian yang dirujuk ke peringkat mahkamah di Perak sejak tahun 2000.

Walau bagaimanapun, tindakan penggantungan telah ambil ke atas pegawai masjid atau surau yang terlibat terhadap sebarang program berunsur politik yang dianjurkan di masjid atau surau.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Asmuni Awi berkata sehingga kini juga tidak ada sebarang rekod yang menunjukkan ada pengajar yang dipecat daripada terus mengajar di masjid dan surau di negeri ini berhubung isu sama.

“Sehingga yang saya dimaklumkan, tidak ada rekod yang menunjukkan ada guru yang dipecat. Jika ada yang dipanggil itu perkara biasa dalam proses siasatan.

“Sebagaimana pihak polis mahu mengambil kenyataan untuk menyiasat, kita mengambil langkah sama untuk memanggil mereka yang terlibat. Tetapi ia bukan bermakna dia ada dituduh atau didakwa di mahkamah,” katanya.

Tegasnya isu penyalahgunaan masjid dan surau oleh parti-parti politik tertentu juga ditegur dan senada dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan Khalil Yahaya (PAS – Kubu Gajah), Asmuni berkata sesiapa yang ingin mengajar di masjid atau surau hendaklah mendapat kelulusan selain mematuhi silibus yang ditetapkan.

“Gunakan silibus yang ada. Boleh berbincang atau menyampaikan ceramah di masjid atau surau selagi ia masih dalam skop keilmuan. Tetapi, apabila ia mula menjurus kepada politik kepartian tertentu, itu menjadi masalah.

“Ini kerana di masjid, ada orang yang berbagai latar belakang sokongan politik. Apabila ada ceramah yang dikaitkan dengan politik, ia tentunya akan menimbulkan rasa tidak selesa kepada yang lain,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");