Panasnya Hari Ini

Tiada Tindakan Terhadap Ronnie Liu, Kata Lembaga Disiplin DAP

LEMBAGA Disiplin DAP menerima penjelasan Ronnie Liu berhubung kritikannya terhadap pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang mencetuskan perang mulut sesama komponen Pakatan Harapan (PH) antara parti itu dengan Bersatu baru-baru ini.

Lembaga itu bagaimanapun menasihati semua ahli parti daripada tidak lagi mengkritik parti komponen dalam PH secara terbuka, kata pengerusinya Chong Chien Jen.

Chong berkata lembaga disiplin parti membuat keputusan itu selepas meneliti “penjelasan panjang lebar” Liu mengenai tulisannya bertajuk Mahathir: Harimau Kertas.

“Kita sudah meneliti penjelasan beliau dan Lembaga Disiplin menerima penjelasannya,” katanya dalam satu kenyataan.

“Bagaimanapun lembaga menasihati semua ahli supaya tidak lagi membuat kritikan terbuka terhadap rakan komponen sebaliknya menggunakan saluran dalaman untuk menyelesaikan sebarang perbezaan.”

Keputusan Lembaga Disiplin DAP ini diumumkan sehari selepas Bersatu mempertahankan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu yang membuat kenyataan beliau “terkontang-kanting melawan DAP” di negeri itu, yang rakaman videonya tersebar di media sosial.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu berkata Faizal hanya menerangkan kepada sekumpulan orang Melayu tentang keadaan pentadbirannya di Perak ketika mereka cenderung menganggap DAP menguasai PH.

Liu dirujuk kepada lembaga disiplin parti oleh setiausaha DAP Anthony Loke selepas Adun Sungai Pelek itu mengkritik beberapa keputusan kerajaan pimpinan Dr Mahathir yang beliau dakwa bertentangan dengan agenda pembaharuan Pakatan Harapan (PH).

Liu juga berkata PH boleh kekal jadi kerajaan persekutuan tanpa sokongan Bersatu.

Kenyataan Liu memancing kecaman pemimpin Bersatu termasuk menteri kabinet Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengisytiharkan sayap pemuda pimpinannya sedia “berperang” dengan DAP.

Armada, sayap pemuda Bersatu, ketika itu memberi Liu masa seminggu untuk minta maaf atau mereka akan menyerang pimpinan DAP, termasuk pimpinan tertingginya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen pula menggesa Bersatu mengkaji semula kerjasama politik dengan DAP. Katanya, bukan Liu seorang menyerang Bersatu dan kepimpinan Dr Mahathir tetapi ramai pemimpin DAP yang mengeluarkan kenyataan mengguris perasaan orang Melayu dan umat Islam.

Selepas dikecam secara terbuka oleh beberapa pemimpin Bersatu, Liu mempertahankan kebebasan beliau bersuara dan menegaskan sedia berdepan tindakan parti.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");