Perak Hari Ini

Tuanku Zara Rasmi Hari Tindakan Iklim Peringkat Negeri

KUALA KANGSAR: Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan Sambutan Hari Tindakan Iklim (Climate Action Day) Peringkat Negeri Perak dan Majlis Pelancaran Harapan Kasih Foodbank di Dataran Pavilion, di sini, hari ini.

Bersempena dengan sambutan tersebut, Pengerusi Persatuan Amal Kasih Perak, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohd Radzi berkata beliau terpanggil bagi memulakan gerakan untuk memastikan pengukuhan usaha-usaha untuk menangani krisis perubahan cuaca.

Katanya, Program pada hari ini tercetus diatas kesedaran bahawa walaupun dunia sedang dalam krisis perubahan cuaca, namun tiada sesiapa pun yang bercakap atau sedar tentang peri bahayanya krisis yang kita sedang hadapi.

“Langkah permulaan yang paling penting ialah dari segi pendidikan, sebagai contoh, hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Kasih Perak, satu pertandingan melukis poster, menulis esei dan bicara berirama di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri bertemakan ‘Bumi Kita, Tanggungjawab Bersama’ telah diadakan melibatkan hampir 9,500 pelajar.

“Melalui program sedemikian, penyebaran maklumat akan menjadi lebih berkesan. Insya-Allah usaha ini akan diperkasakan lagi dengan menjadikan pendidikan melestarikan alam sekitar sebagai sebahagian dari kukurikulum dan kokurikulum pendidikan di negeri ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sementara itu, kata Nomee Ashikin mengenai penubuhan Harapan Kasih Food Bank di mana adalah satu inisiatif bagi menyelamatkan lebihan makanan yang masih berada dalam keadaan baik dan tidak tercemar melalui pengumpulan daripada premis hypermarket dan pasar raya.

Katanya, bekalan makanan tersebut akan diagihkan kepada kumpulan sasar yang telah dikenalpasti termasuk di rumah kebajikan, keluarga miskin dan pertubuhan kebajikan.

“Program ini dapat memastikan pengurangan makanan terbuang ke tapak pelupusan sampah yang menyumbang kepada rumah hijau dan pemanasan global.

“Berdasarkan kajian Food Aid Foundation, sebanyak 15,000 tan makanan dibuang setiap hari di negara ini dan daripada jumlah itu, sejumlah 3,000 tan adalah makanan yang masih selamat dimakan dan boleh memberi manfaat kepada 2.2 juta orang,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat pelbagai agensi yang terlibat dalam pameran sepanjang berlangsungnya program selama dua hari sejak semalam antaranya mengenai penggunaan tenaga hijau seperti penggunaan kuasa solar dan air termasuk penggunaan kenderaan elektrik iaitu kereta elektrik Tesla yang turut dipamerkan kepada orang ramai.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");