Membawang Hari Ini

Tuhan Jaga Anak Saya – Abby Abadi

KUALA LUMPUR: Bintang Gerak Khas, Abby Abadi, menganggap perkembangan positif ditunjukkan bayinya, Muhammad Danial Firman Faizal, sebagai satu keajaiban.

Memetik laporan BH Online, Abby berkata, sebelum ini, doktor pernah memaklumkan anaknya hanya mempunyai separuh peluang untuk hidup.

Dilahirkan sewaktu kandungannya baru mencecah 23 minggu dengan berat 535 gram, bayi yang kini berusia hampir 50 hari itu menunjukkan peningkatan berat badan kepada 892 gram.

“Alhamdulillah, perkembangan ditunjukkannya di luar jangkaan, malah kadang kala saya terasa apa yang berlaku seperti magik. Sebelum ini, doktor beritahu Muhammad Danial hanya mempunyai peluang 50-50 untuk hidup. Nafasnya juga pernah terhenti sebanyak tiga kali, sehingga saya hanya mampu berserah.

“Saya lega dengan keadaannya sekarang. Begitupun, saya tidak mahu terlalu seronok, malah tetap bimbang jika kesihatannya kembali merosot.

“Setakat ini Muhammad Danial masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Sungai Buloh. Dia juga masih ditempatkan di dalam inkubator dan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan. Selain itu, bayi kami juga perlu menggunakan tiub untuk minum susu. Oleh itu, setiap hari saya dan suami, Faizal Zakaria, akan berulang alik ke Sungai Buloh untuk menjenguknya,” katanya.

Menurut Abby, sehingga kini mereka tidak pasti sampai bila Muhammad Danial akan ditempatkan di NICU.

“Mungkin dia akan dirawat di situ selama tiga hingga empat bulan lagi kerana setiap bayi adalah berbeza. Namun, kami yakin dan berserah kepada Allah.

“Saya amat berterima kasih kepada semua yang mendoakan anak kami. Kita pun tidak tahu, doa siapa yang diangkat sehingga perkembangannya sebegini positif,” kata Abby.

Pelakon yang kini aktif dalam bidang perniagaan itu turut memberitahu, dia bakal menunaikan umrah bersama keluarga besarnya, dari 5 hingga 15 Disember depan.

Ditanya apakah dia tidak bimbang meninggalkan si kecil yang masih dirawat di hospital, Abby percaya, Tuhan akan melindungi anaknya.

Katanya, sepanjang berada di Tanah Suci Makkah nanti, dia akan sentiasa memantau dan bertanyakan perkembangan Muhammad Danial kepada pihak hospital.

“Insya-Allah, Allah ada. Doktor dan jururawat juga ada dan saya yakin dengan kemampuan mereka. Sepanjang hampir 50 hari anak dirawat, kami hanya boleh jenguk sebentar. Tiada apa-apa yang boleh dilakukan sepanjang menjenguknya. Jadi, saya tawakal dengan keputusan untuk ke Makkah bersama keluarga.

“Selain ibu bapa, waris lain tidak dibenarkan menjenguknya. Oleh itu, saya hanya mampu berserah sepenuhnya kepada Allah untuk menjaga anak kami,” kata Abby.

Bekas anggota kumpulan Elite itu melahirkan bayi lelaki berkenaan pada 27 September lalu secara pembedahan selepas mengalami ‘turun darah’.

Sebelum melahirkan Muhammad Danial, Abby pernah mengalami keguguran, iaitu pada 2016 ketika berada di Madinah, manakala pada 2017, sewaktu kandungannya mencecah lima bulan, bayi yang dikandung meninggal dalam perut.

Abby dan Faizal, yang mendirikan rumah tangga pada 14 Ogos 2015, turut mempunyai dua anak angkat, Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Abby dianugerahkan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14 dan Maria Danisha Hakim, 11.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");