Panasnya Hari Ini

Tunggu Pilih Presiden Lain Kalau Berani, Kata Anwar

Selagi menyandang jawatan presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan memanggil mesyuarat mana-mana kelompok dalam parti.

Mereka bebas untuk mengadakan mesyuarat sendiri tetapi beliau tidak akan mengiktirafnya, kata Anwar lagi.

“Tak ada umpamanya mesyuarat kelompok Saifuddin (Nasution Ismail), mesyuarat kartel, itu saya tak iktiraf…Saya tidak akan panggil mesyuarat (dengan) kelompok, saya panggil mesyuarat parti.

“Nak jumpa (dan) menghalakan kelompok (tertentu) bukan kerja presiden. Kena tunggu pilih presiden lain, kalau berani,” katanya ketika berucap di Konvensyen PKR Kedah dan Perlis di Kulim, Kedah hari ini.

Istilah ‘kartel’ dalam PKR biasanya merujuk kepada kem timbalan presiden Azmin Ali. Dipercayai ini kali pertama Anwar menyebut istilah itu secara terbuka.

Kemelut dalaman PKR kembali hangat susulan pembatalan jemputan kepada Azmin untuk merasmikan Kongres Nasional Pemuda PKR.

Pada 14 November lalu, Azmin mendakwa ada ‘tangan ghaib’ di belakan keputusan membatalkan jemputan terhadapnya, dan yakin ketua pemuda PKR tidak akan berani berbuat demikian tanpa sokongan di belakangnya.

Pada September lalu, Zuraida Kamaruddin – pemimpin kanan PKR yang menyokong Azmin – berkata beliau tidak akan hadir mana-mana mesyuarat parti selagi Anwar enggan mengadakan pertemuan rekonsiliasi dengannya, Azmin serta sejumlah lagi pemimpin parti.

Anwar dalam ucapannya turut berkata ada dakwaan bahawa beliau enggan bertemu dengan pemimpin parti yang berpihak kepada Azmin.

“Ada yang heboh ‘Anwar tak sanggup nak jumpa’. Tak betul…Sesiapa sahaja boleh jumpa,” katanya sambil menjelaskan ramai pemimpin yang bertemunya ketika di Parlimen dan pejabatnya di Petaling Jaya.

“Jadi nak kata tak boleh jumpa tak benar…Apatah lagi kalau anda menteri, timbalan menteri. Ada hal-hal saya tak pernah menolak (untuk berjumpa),” katanya lagi.

‘Jangan jadi hamba jawatan’

Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson mengingatkan hadirin agar tidak menjadi hamba jawatan sehingga melupakan prinsip yang diperjuangkan.

Beliau juga mengingatkan mereka yang kini memegang jawatan dalam kerajaan naik kerana parti itu sendiri.

“Saifuddin kata ada exco tak boleh datang, saya hairan. Jangan lupa anda nak jadi calon itu watikah dari (bekas presiden PKR) Wan Azizah, sokongan dari ahli.

“Selepas itu kerana Keadilan (PKR) kamu diangkat, mana mungkin kamu lupa kepada parti yang mengangkat kamu. Ini kita harus fikirkan, (jika nak) berbeza pendapat okey,” katanya. lagi.

Menekankan pentingnya untuk PKR menjadi sebuah parti yang kuat, Anwar berkata kerana orang ramai akan menilai parti itu berdasarkan pergeseran dalaman yang sedang berlaku.

“Sampai bila saya nak jadi presiden? Tetapi sementara saya jadi presiden, saya perlu parti yang kuat dan mantap,” katanya lagi.

Ketika ditemui pemberita kemudian, Anwar diminta mengulas mengenai perlembagaan parti yang menyatakan pemimpin yang tidak hadir lebih tiga kali berturut-turut tanpa alasan munasabah boleh dilucutkan jawatan.

Anwar berkata pimpinan PKR mahu mengambil pendekatan lembut dan sederhana.

Katanya lagi, ada pemimpin yang membangkitkan peraturan itu sebelum ini tetapi beliau meminta agar ia tidak digunakan.

“Kita ambil pendekatan yang sangat sederhana dan berlembut untuk memberi ruang. Kawan-kawan kita memikirkan sebab itu kita tidak menggunakan peruntukan itu, setakat ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");